mutakhir

Empat tokan dadah ditahan

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Empat lelaki dipercayai tokan dadah ditahan dalam dua serbuan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, seorang suspek berusia 36 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Bukit Malut, di sini, pada 2.05 pagi.

"Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis heroin seberat 5.37 gram (g) dan syabu 0.74 g atas lantai rumah didiami suspek.

"Suspek yang turut mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 ," katanya.

Mohd Iqbal berkata, polis kemudian menahan tiga lelaki berusia 23 dan 47 tahun di sebuah rumah di Kampumg Padang Mengkuang, Mukim Ulu Melaka, di sini, pada 6.57 petang.

"Dadah jenis heroin seberat 19.0 g dan syabu seberat 2.6 g yang disembunyikan dalam beg hitam turut dirampas.

"Polis mendapati dua daripada suspek terbabit mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah. Tiga suspek itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 4:53pm
d