WM

'Skirt pensel' ada gaya

Oleh Nurul Husna Mahmud

SKIRT pensel mendapat nama berdasarkan potongan busana itu yang lurus, labuh dan sempit menyerupai kriteria alat tulis terbabit.

Karakter tipikal yang ada itu membuatkan penggayaan skirt terbabit menjadi pilihan sebahagian besar wanita dalam sebarang acara baik formal mahupun kasual.

Malah sedikit perincian mampu mengubah rupa skirt yang 'bosan' kepada penggayaan lebih segar dan moden bergantung kepada rekaan serta kemasan.

Uniknya dengan potongan itu mampu memberi 'siluet' yang berbeza bergantung kepada susuk tubuh. Jika penelitian diberikan pada pemilihan fabrik, penggayaan skirt pensil potongan lurus itu mampu memberi pesona anggun seperti material kulit sintetik 'stretch faux leather' atau kulit sebenar.

Universal pula adalah 'bahasa' penggayaan skirt potongan berkenaan yang mana mampu memberi keselesaan dan penataan diri baik apabila dipadankan dengan busana atau aksesori yang sesuai.

Tiga contoh padanan skirt pensel mengikut potongan tubuh wanita:

1. Bentuk tubuh jam pasir

Potongan tubuh ini menjadi impian kebanyakan wanita kerana ideal yang mana bahagian atas tubuh dan bawah adalah seimbang.

Ia memberikan pesona apabila dipandang. Dalam pilihan ini, memadai menggunakan fabrik tidak terlalu ketat tetapi dengan sedikit aksesori seperti tali pinggang membuatkan penampilan sudah cukup menonjol.

2. Bentuk tubuh pir

Bentuk tubuh ini perlu berhati-hati dalam pemilihan fabrik bersesuaian kerana jika tersalah pilih boleh menyebabkan bahagian bawah tampak lebih besar berbanding objektif untuk beri keseimbangan dalam penggayaan busana. Skirt pensel jika dipakai boleh membantu mencipta ilusi tubuh menarik menerusi pemilihan fabrik seperti kapas dan bulu yang boleh memegang bahagian tubuh lebih menonjol.

Sebaiknya untuk tampak seimbang, pilihan warna perlulah lebih gelap atau motif kecil sementara padanan blaus lebih terang memastikan ada gaya 'wow' apabila ada individu memandang.

3. Bentuk tubuh epal

Apabila ada mempunyai susuk tubuh mampu memberi ilusi 'tembam' segenap segi terutama bahagian perut, elak padanan tali pinggang, skirt perincian berpoket atau kemasan menonjol di bahagian itu.

Sebaliknya pilih skirt pensil mengikut aliran tubuh dengan memberi ilusi seperti 'V' apabila menggunakan fabrik dan motif betul. Sebagai contoh skirt pensel fabrik kulit atau separa lateks bantu tubuh anda kelihatan tirus.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 6:12am
d