mutakhir

Tumpu perangkap sisa tumpahan minyak di tengah laut

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Operasi memerangkap saki-baki kesan tumpahan minyak masih dijalankan Angkatan Pertahanan Awam (APM) di tengah laut.

Pegawai Daerah dan Tanah Port Dickson, Khairy Maamor berkata, Anggota APM masih meneruskan pemasangan 'absorbent boom' bagi memerangkap saki-baki minyak di perairan Port Dickson.

"Kerja pembersihan pantai sudah siap dilaksanakan dan sudah diberhentikan operasinya tetapi masih terdapat saki-baki lagi kesan tompokan sisa tumpahan minyak di tengah laut.

"Sisa tumpahan minyak di tengah laut lebih mudah diperangkap berbanding jika ia sampai di pantai.

"Jabatan Laut turut memantau keadaan di tengah laut jika ada kesan tumpahan minyak dan operasi penyerapan terus dilakukan," katanya ketika dihubungi tadi.

Khairy berkata, setakat hari ini belum ada sebarang aduan atau laporan daripada nelayan atau orang ramai berkenaan kesan minyak di pantai.

"Di kawasan pantai operasi pembersihan sudah tamat dan tumpuan hanya di laut.

"Setakat hari ini belum ada kesan pencemaran yang menjejaskan hidupan laut dan keadaan kembali seperti sedia kala atas bantuan pihak Jabatan Perhilitan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Bagaimanapun, kawasan Pantai Cermin belum boleh dibuka kepada orang ramai untuk sebarang aktiviti kerana operasi belum tamat sepenuhnya," katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 4:15pm
d