mutakhir

Buaya cedera ditembak diselamatkan

Oleh Mohd Roji Kawi

Limbang : Anggota bomba terpaksa dipanggil bagi menangkap seekor buaya yang dikhuatiri mengganas selepas cedera ditembak penduduk kampung, di sini, malam tadi.

Selepas terkena tembakan itu, buaya sepanjang 4.5 meter disedari berada di dalam longkang di belakang Sekolah Kebangsaan St Edmund, di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai Jabatan Hutan Sarawak (JHS) bagi mendapatkan khidmat khas menangkap buaya itu pada 10.59 malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi, didapati seekor buaya besar di dalam longkang dan ia agak agresif kerana difahamkan reptilia itu cedera selepas ditembak.

"Anggota kami berjaya menenangkan buaya itu selepas menutup matanya dengan kain sebelum mengikatnya di tepi pagar sekolah," katanya.

Katanya lagi, pihaknya menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan buaya itu dari longkang kerana terlalu berat.

"JHS hanya akan mengalihkan buaya itu pagi ini," katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 9:03am
d