mutakhir

PM ucap takziah kematian Ahli Parlimen Gerik

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga mengucapkan takziah atas kematian Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, hari ini.

Muhyiddin menyampaikan ucapan itu menerusi hantaran dimuat naik di Facebook pada 8 malam ini.

"Saya mendapat perkhabaran mendukacitakan bahawa Datuk Hasbullah Osman, Ahli Parlimen Gerik, Perak, baru sahaja meninggal dunia.

"Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang," katanya.

Dalam hantaran itu, Muhyiddin memaklumkan Hasbullah adalah bekas Setiausaha Politiknya ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Selaku Setiausaha Politik, arwah memainkan peranan besar dalam mencorakkan perjalanan politik saya, jasa yang amat saya hargai hingga ke hari ini.

"Banyak kenangan kami kongsi bersama. Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat saya," katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang wakil rakyat, Allahyarham dikenali sebagai individu sentiasa membangkitkan hal berkaitan kepentingan rakyat di Parlimen selain sikapnya yang ramah membuatkan Hasbullah mesra dengan semua orang.

"Bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti Allahyarham sepanjang bergelar wakil rakyat dan selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Semoga amalan baik Allahyarham diterima Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh. Amin," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Hasbullah meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah hospital di Raub, Pahang, hari ini.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 8:38pm
d