mutakhir

Kanak-kanak 12 tahun ke atas dibenarkan solat di masjid

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas dibenarkan untuk menunaikan solat berjemaah di semua masjid dan surau di negeri ini, berkuat kuasa serta merta.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri kali ke-13, yang bersidang pada 5 Oktober lalu, iaitu had umur minimum kanak-kanak yang dibenarkan solat di masjid diturunkan dari 15 tahun kepada 12 tahun.

Katanya, semua masjid dan surau di negeri ini turut dibenarkan untuk mengadakan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan berkuat kuasa serta merta.

"Kebenaran itu selaras dengan keputusan kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih awal iaitu bermula Sabtu lalu.

"Selepas mengambil kira pandangan Jabatan Kesihatan negeri (JKNT), Maidam mengambil keputusan membenarkan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di semua masjid dan surau di seluruh negeri, " katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Osman berkata, jawatankuasa masjid dan surau digesa untuk memastikan ahli jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

"Sultan Mizan juga berdoa agar semua rakyat sentiasa berada dalam lindungan dan pemeliharaan Allah, " katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 4:16pm
d