mutakhir

Kereta perisai lindungi anggota di sempadan [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon 36 kereta perisai (APC) secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kenderaan itu perlu untuk penugasan rondaan di sempadan Kedah, Perlis, Kelantan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

"PDRM mendapati wujud ancaman terhadap keselamatan pegawai dan anggota bertugas di kawasan berkenaan dan kita memerlukan kenderaan ini untuk perlindungan," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak dan Pengerusi Perkep Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, permohonan itu dikemukakan tahun lalu sekali gus bagi menggantikan APC sedia ada yang usang dan tidak sesuai digunakan lagi.

Beliau mengakui proses kelulusan mengambil masa kerana perlukan kajian teknikal selain tertakluk peruntukan kerajaan.

"Mungkin jika peringkat pertama dapat 10 unit pun sudah baik," katanya.

Dalam pada itu, Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang dilantik sebagai Ketua Polis Perak optimis bahawa setiap elemen penugasan di kontinjen Perak dapat dilaksana pegawai dan anggota secara optimum.

"Kita akan merangka hala tuju yang strategik bagi memastikan kontinjen Perak bukan sekadar mengekalkan momentum kejayaan seperti mana sebelum ini, namun lebih lagi," katanya yang nekad membendung salah laku dan salah guna kuasa pegawai dan anggota kontinjen itu yang boleh menjejaskan reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mior Faridalathrash, 58, yang berasal dari Kuala Kangsar sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan mula menyertai PDRM sejak Disember 1982.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 2:31pm
d