ANTARA sukarelawan yang membantu golongan kurang bernasib baik itu. FOTO ihsan PERTIWI Soup Kitchen
SUASANA dimeriahkan dengan bermain bunga api. FOTO ihsan PERTIWI Soup Kitchen
ANTARA gelandangan sempat bergambar bersama sukarelawan dari PERTIWI Soup Kitchen. FOTO ihsan PERTIWI Soup Kitchen

Kuala Lumpur: Agak sunyi Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada malam itu, tidak seperti hari-hari sebelumnya sepanjang Ramadan yang meriah dengan gelagat peniaga dan kesesakan lalu lintas bertali arus.

Gemerlapan lampu daripada deretan gerai berdekatan dengan pasar Chow Kit ini mahupun bunyi hon kereta membingitkan suasana juga sudah tidak kelihatan dan kedengaran lagi.

Kebanyakannya warga kota, tidak kiralah tempatan dan juga warga asing, sudah pulang beraya di kampung.

Dalam suasana agak sunyi itu, berlainan pula keadaaannya di satu lorong belakang yang terletak antara Tune Hotel dan CIMB bank berhampiran persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail.

Siap berbaju Melayu teluk belanga dan cekak musang, ada bersamping bagi lelaki manakala wanita pula berbaju kurung dengan rambut didandan cantik.

Di lorong belakang itu, yang tidak mempunyai nama dan merupakan jalan mati, mereka bagai menantikan sesuatu, itulah senario setiap kali Pertiwi Soup Kitchen turun padang meraikan Hari Raya bersama golongan gelandangan.

UNTUK ANAK

Pengasas dan Pengerusi Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid berkata, mereka tidak seperti lazimnya, berpakaian comot, tidak berhias pada hari-hari biasa.

Seperti yang lain kebanyakan golongan gelendangan tidak melepaskan peluang bergaya bagi menyambut perayaan Hari Raya.

Agak meriah, kata Munirah kepada wartawan.

Walaupun tidak ada rumah dan sekadar menyambut perayaan selepas sebulan menunaikan ibadat puasa secara sederhana di kaki lima ini. Itu, sudah pun membuatkan mereka bersyukur dan merasai masih ada lagi insan yang menghargai golongan terpinggir itu.

Mungkin, bagi segelintir masyarakat yang bukan dalam kelompok itu tidak dapat lari daripada memandang jijik lorong yang menjadi pemisah antara bangunan sebuah hotel dan juga bank ini.

Namun, tidak bagi golongan gelandangan kerana ia diibaratkan sebagai rumah untuk sekumpulan mereka bertemu dan mendapatkan bantuan makanan daripada pihak NGO berkaitan bagi meneruskan kehidupan.

Rubiah, antara gelandangan yang tidak melepaskan peluang untuk membawa anak-anaknya merasai nikmat berhari raya yang dianjurkan oleh NGO itu. Dan, sudah pasti raya kali ini juga tidak terkecuali.

“Kami pun teringin hendak beraya, tetapi tidak mampu. Gaji suami kecil, tidak cukup duit bayar sewa rumah dan berhias cantik-cantik untuk Hari Raya.

“Kesian dengan anak-anak yang tidak pernah merasai nikmat berhari raya. Tetapi, kami gembira apabila Pertiwi Soup Kitchen menganjurkan program seperti ini. Dapatlah anak-anak merasa,” kata Rubiah.

RASAI KETUPAT

Sudah dua tahun menjadi warga gelandangan, kawasan sekitar Chow Kit, bangunan Dayabumi dan bawah jambatan di sekitar ibu negara adalah antara tempat wanita dan keluarga ini tumpang berteduh.

Ketika ditanya tidak adakah saudara mara atau keluarga, ibu kepada dua orang anak yang berusia lima tahun dan setahun 10 bulan ini berkata beliau seorang yatim piatu dan tidak ada adik-beradik lain.

“Kehidupan kami agak daif. Disebabkan itulah, Hari Raya buat kami sekeluarga tidak ada bezanya dengan hari-hari lain. Namun, kami dapat berbaju raya atas pemberian orang ramai.

“Ia mungkin pakaian yang tidak lagi digunakan, tetapi kami sangat teruja dengan pemberian itu. Anak-anak dapatlah memakai baju raya,” katanya.

Kegirangan jelas terpancar di wajah anak-anaknya apabila dapat menikmati juadah raya kerana mereka sebelum ini tidak pernah dapat merasai keenakan lemang, ketupat dan pelbagai lagi jenis biskut, ujarnya.

AIR MATA PENEMAN

Bagi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Watie pula, kekecewaan perkahwinan yang hanya mampu bertahan selama enam tahun membuatkannya nekad membawa diri ke Kuala Lumpur untuk mengubah nasib dialami.

Namun, pencaturannya itu silap dan menjadi episod duka dalam kehidupannya apabila terpaksa hidup sebagai gelandangan akibat ditipu majikan yang sudah beberapa bulan tidak membayar gaji.

“Saya ada keluarga di kampung, tetapi tidak mahu menyusahkan mereka. Lagipun, mereka pun ada tangungan sendiri dan saya pun ketika itu tidak ada duit untuk balik kampung.

“Macam-macam tempat saya tinggal, kali lima Kota Raya, Dataran Merdeka. Cuma, saya tidak berani tidur di bawah jambatan kerana ragam orang di situ semacam sikit,” katanya.

Selama setahun lebih anak kelahiran Sik, Kedah ini merasai kehidupan sebagai orang gelandangan sebelum akhirnya berjaya menyewa bilik melalui bantuan yang diterimanya daripada sebuah badan kerajaan.

Sepanjang tempoh itu akui wanita ini hanya linangan air mata menjadi peneman setia apabila tibanya hari lebaran. Namun, sumbangan orang ramai dan NGO yang tampil meraikan mereka menjadi pengubat luka.

WAJIB

Sudah enam tahun, Pertiwi Soup Kitchen menganjurkan program menceriakan golongan gelandangan sempena sambutan Aidilfitri dan tahun ini juga tidak terkecuali.

Ia yang merupakan antara program di bawah aktiviti ‘soup kitchen’, iaitu menyampaikan makanan kepada gelandangan di kawasan Chow Kit, Kota Raya dan Masjid India.

Munirah menceritakan juadah untuk Aidilfitri adalah berbeza berbanding juadah pada hari-hari lain - Ahad, Isnin, Rabu dan Jumaat. Bagi hari lebaran kali ini yang jatuh pada Jumaat (17 Julai), telah dirancang dengan sebaiknya juadah istimewa untuk disajikan kepada mereka pada malam raya pertama itu.

“Ketupat palas dan pelbagai lagi juadah raya disediakan. Aktiviti pemberian makanan ini telah bermula sejak tahun 2010 dan tidak pernah berhenti walaupun ia jatuh pada hari perayaan,” katanya.

Bagi membangkitkan suasana kemeriahan, sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen juga tidak ketinggalan untuk turut sama bergaya dengan pakaian raya. Menariknya, mereka sudi meluangkan masa sebentar menggembirakan golongan ini sedangkan malam raya pertama kebiasaannya orang lebih gemar berhimpun bersama keluarga di rumah.

“Selalunya, waktu malam sudah tidak ada apa-apa sangat. Yang sibuknya, siang hari sahaja. Selepas menyambut bersama keluarga, apalah salahnya kalau meluangkan masa untuk menghiburkan mereka?” kata Munirah.

KELUARGA

Lagipun, golongan gelandangan ini pelbagai kategori dan bukannya penagih dadah sahaja. Tersimpan seribu satu rahsia, kata Munirah tidak salah kalau kita berkongsi sedikit kegembiraan menyambut lebaran.

Ini kerana, ada antara mereka yang telah disisih keluarga, ada yang malu untuk pulang, dan ada juga tidak mempunyai wang untuk berjumpa keluarga di kampung.

“Kita ini sudah dianggap sebagai ‘keluarga mereka di tepi jalan’,” katanya sambil berkata, banyak lagi NGO lain yang turut sama mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti sempena hari perayaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2015 @ 5:01 PM