utama

Rondaan lebih agresif [METROTV]

Oleh BERNAMA

Pasir Mas: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan lagi kesiapsiagaan dengan melaksanakan rondaan secara agresif di kawasan panas sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, susulan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditembak baru-baru ini.

Panglima 8 Briged, Brig Jen Zamsari Abu Hassan berkata, kesiapsiagaan itu meliputi pengukuhan aktiviti risikan termasuk penggunaan dron dan kerjasama dengan agensi keselamatan lain.

"Dua kumpulan (platun) tambahan dari kem Pengkalan Chepa diarahkan bersiap sedia untuk digerakaturkan bagi membantu operasi ketika keadaan kecemasan atau kontinjensi sekiranya berlaku.

"Setiap anggota kami yang beroperasi dikehendaki memakai helmet balistik dan jaket kalis peluru bagi mencegah kecederaan akibat tembakan daripada penjenayah rentas sempadan," katanya selepas Lawatan ke kawasan Op Benteng di Sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Rantau Panjang di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar Perlis maut dipercayai ditembak penyeludup.

Zamsari berkata, kesiapsiagaan itu turut membabitkan peralatan iaitu bot tempur, bot enjin sangkut bagi mengawal sempadan dan kedaulatan negara daripada aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Kami sudah mengenal pasti lebih 59 kawasan panas dan perlu melakukan rondaan yang lebih agresif di kawasan itu dengan mengambil berat aspek keselamatan hampir 274 anggota ditugaskan di sempadan berdekatan negeri ini," katanya.

Beliau berkata, anggotanya bersedia dan mempunyai moral yang tinggi untuk mempertahankan kawasan sempadan walaupun apa jua berlaku terutama seperti bakal menghadapi banjir dan tembakan.

Katanya, lawatan beliau bertujuan memantau persiapan operasi yang sedang dilaksanakan Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bagi mengukuhkan kedaulatan negara di sempadan Malaysia-Thailand.

"Kami mahu setiap anggota jangan gentar, sebaiknya perlu bertugas penuh amanah, disiplin untuk negara," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 7:30am
d