dekotaman

Kreativiti seni bunga kering

Oleh Hartini Mohd Nawi

SETIAP kali berpeluang melihat hasil seni berasaskan bahan semula jadi ini, penulis cukup kagum dengan sentuhan kreatif A P A Attitude Planet atau lebih dikenali sebagai ApaArt yang nyata ia berbeza daripada yang lain!

Tidak hairanlah, saban waktu bengkel tempat 'bermain' dengan kreativiti itu sering menjadi tumpuan ramai. Terbaharu, menerima kunjungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Di bengkel itu jugalah, pelbagai rekaan bunga hiasan diperagakan sebagai inspirasi pencetus ilham untuk menzahirkan keunikan terbaharu.

Malah tiga perekanya yang terdiri daripada Fauzi Ab Majid, 48, Hisham Kamaruddin, 53, dan Mohd Zainol Abidin Ngajiman, 29, langsung tidak lokek berkongsi idea jika ada peminat bunga hiasan yang ingin menuntut ilmu kreativiti itu.

"Idea menghasilkan kraf berasaskan alam semula jadi ini biasanya tercetus tanpa diduga selain tidak mengira masa.

"Kadangkala, situasi harian dan pengalaman semalam menjadi 'pembuka jalan' untuk rekaan dihasilkan. Nampak ringkas dan mudah tapi setiap satunya mempunyai perlambangan seni tersendiri," kata Fauzi yang mesra disapa Ben.

Malah anda juga lebih bernasib baik jika kunjungan ke bengkel itu sama dengan waktu pereka ini menghasilkan kreativiti. Mungkin juga inilah masanya untuk anda mencabar kemampuan diri. Siapa tahu anda juga antara insan yang kreatif!

Sudah namanya orang seni, tiga pereka itu juga tidak pernah kering idea sebaliknya sentiasa tampil dengan garapan baharu yang tentunya menambat hati peminat bunga hiasan untuk menata hias ruang kediaman berlatarkan dekoratif itu.

Untungnya apabila tinggal di persekitaran berlatarkan alam semula jadi. Itu kelebihan yang ada pada tiga pereka ini apabila mencuri kelapangan waktu dengan mendapatkan pelbagai bahan mentah dari kawasan berdekatan.

Dari ranting pokok, akar kayu, daun, bunga dan buah kering, kayu hanyut atau rumput kering, semuanya dibawa pulang untuk dijemur dan dilakukan pengawetan mengikut jenis rekaan yang bakal dihasilkan.

Tampil berkongsi proses penyediaan bahan, Hisham yang mesra disapa Sam berkata apabila semua sudah tersedia, siap diawet mengikut kesesuaian dengan warna pilihan, rekaan bunga hiasan dengan nama unik mula dihasilkan.

"Paling penting fokus pada setiap rekaan yang bakal dihasilkan supaya ia benar-benar unik, bermakna ia benar-benar tidak sama dengan kreativiti terdahulu," katanya.

Antara rekaan diketengahkan ialah bunga hiasan dinamakan iBodie. Bahan asas yang diperlukan ialah bunga Calathea lutea kering dan pinang puteri yang kedua-dua sudah melalui proses pengawetan termasuk adunan warna pilihan.

"Kuntuman bunga iBodie ini dihasilkan dalam pelbagai warna dengan membawa perlambangan keceriaan dan keharmonian.

"Cantuman kelopaknya pula membuktikan bahawa kita saling memerlukan dan lebih kuat jika teguh dalam persaudaraan.

"Penghasilannya nampak ringkas, namun perlu teliti dalam setiap peringkat supaya kuntuman yang terhasil benar-benar sebuah dekoratif menarik dan asli.

"Jadi, ia sesuai untuk menghiasi sudut atau ruang kediaman anda walau apa juga konsep dekorasi yang ingin diketengahkan. Bak kata orang, letak di ruang mana pun, rekaan ini tetap menyerlah," kata pereka ApaArt paling bongsu, Mohd Zainol Abidin atau mesra disapa Bob.

Satu lagi bunga hiasan yang tidak kurang menariknya ialah Baby Herb Flower. Ia adalah bunga hiasan yang diinspirasikan daripada bunga rumput liar.

Kedengaran mudah dihasilkan namun tidak semua orang mampu menzahirkannya. Dari sekecil-kecil buah pelaga, kulitnya dikupas sementara pinang puteri pula antara bahan asas yang perlu ada.

Tidak hanya bunga hiasan iBodie dan Baby Herb Flower saja menarik kerana setiap rekaan ApaArt dilihat mampu melengkapkan konsep penataan ruang kediaman atau pejabat anda.

Sebut apa saja jenis penataan, semuanya meletakkan aksesori hiasan seperti bunga ini antara pelengkap utama. Selain memberikan mesej privasi bahawa anda seorang pencinta seni.

Jadi, apa tunggu lagi, ayuh kunjungi bengkel ApaArt yang terletak di Pusat Inkubator, Jabatan Pertanian, Batu 18 Jalan Hulu Langat, Hulu Langat, Selangor untuk meninjau sesuatu kreativiti yang baharu di situ.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 7:01am
d