mutakhir

Sebulat suara lulus Belanjawan Johor 2021

Oleh Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2021 berjumlah RM1.857 bilion untuk mendepani wabak Covid-19.

Ia sekali gus menepis ura-ura bahawa sidang DUN hari ini akan berlaku kekecohan susulan perkembangan politik yang melanda Perak, kelmarin.

Belanjawan Johor 2021 dengan tema 'Berdaya Tahan Demi Kemakmuran' itu dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada 26 November lalu.

Belanjawan 2021 Johor itu mengalami defisit sebanyak RM248.14 juta, selepas ia merekodkan belanjawan lebihan 10 tahun berturut-turut, sebelum ini.

Hasni Mohammad, ketika membentangkan belanjawan itu berkata, ia berikutan unjuran hasil negeri adalah sebanyak RM1.609 bilion manakala unjuran perbelanjaan pula berjumlah RM1.857 bilion.

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 3:44pm
d