mutakhir

9 mangsa kekal di PPS kerana banjir termenung

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu kekal sembilan mangsa membabitkan empat keluarga di Marang.

Sehingga jam 11 pagi, kesemua mangsa itu ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Marang.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, mereka masih ditempatkan di PPS kerana banjir masih belum surut di kediaman mereka.

"Apa yang berlaku boleh dikatakan sebagai banjir termenung kerana air tidak dapat mengalir keluar ke sungai dan berada pada paras antara 0.5 hingga 0.7 meter.

"Jika cuaca berterusan baik hari ini, banjir mungkin surut dan mereka boleh pulang," katanya.

Gelombang ketiga banjir yang melanda Terengganu sejak Rabu lalu mengakibatkan semua daerah di negeri ini terjejas dengan lebih 2,000 mangsa dipindahkan ke PPS.

Disiarkan pada: December 7, 2020 @ 11:23am
d