mutakhir

Masjid Razaleigh akan dibuka April ini [METROTV]

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Masjid Razaleigh yang mempunyai sembilan menara menyerupai Masjidil Haram Makkah di Bandar Lama, di sini, akan dibuka April ini bagi menyambut Ramadan.

Bagaimanapun, masjid yang tercanggih dan termoden di negara ini menelan belanja RM32 juta itu dibuka kepada orang ramai untuk melawatnya pada bila-bila masa.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui masjid baharu itu sepatutnya dibenar untuk solat lima waktu pertengahan tahun lalu lagi.

Katanya, ia ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan Covid-19 yang masih belum reda di seluruh negara.

"Kita nak tegok pandemik Covid-19 itu boleh berakhir atau sebaliknya selepas 31 Mac nanti dan jika tamat bolehlah kita buka masjid ini untuk solat.

"Kalau Covid-19 masih lagi menular, mungkin kita tangguh untuk tujuan itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir masjid itu di sini, malam tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hasyim, Adun Nenggiri, Ab Aziz Yusoff dan Adun Paloh, Amran Ariffin.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berpuas hati dengan pembinaan masjid baharu itu bagi menggantikan masjid lama yang kerap tenggelam banjir setiap musim tengkujuh dan tidak dapat menampung jemaah ramai.

"Masjid baharu ini cukup selesa dan dapat menampung jemaah yang lebih ramai, selain lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti bilik imam, bilal, dewan mesyuarat, kuliah dan bilik jenazah," katanya.

Beliau berkata, kemudahan paling penting adalah ruang khusus untuk kursus haji dan ummrah bagi semua yang ingin menunaikan ibadah itu setiap tahun.

Disiarkan pada: January 2, 2021 @ 10:54am
d