mutakhir

Anak buaya masuk kilang

Oleh Erika George

Bintulu: Pekerja sebuah kilang perindustrian di Taman Perindustrian Samalaju dikejutkan dengan kehadiran seekor anak buaya sepanjang 1.3 meter yang dilihat melintas jalan dalam kawasan kilang berkenaan, kira-kira 8 malam tadi.

Justeru, pihak pengurusan kilang bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

Menurut Jurucakap Pasukan Bravo Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggotanya dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, kita dapati buaya itu masih lagi berada atas jalan dan terus menjalankan operasi menangkap haiwan itu.

"Ia berjaya ditangkap dengan menggunakan penjerut, kira-kira sejam kemudian," katanya.

Menurutnya, selepas ditangkap, buaya terbabit kemudiannya dilepaskan semula ke habitat asalnya di kawasan sungai berdekatan.

Secara amnya, buaya tidak lagi disenaraikan sebagai haiwan liar yang dilindungi seperti yang termaktub dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998.

Sehubungan itu, buaya katak di Sarawak boleh diburu untuk tujuan perdagangan.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 8:15am
d