arena

Liverpool 'berkarat' tewas kali kedua

Oleh AFP

Southampton: Jurgen Klopp mengakui Liverpool kini berdepan 'detik berkarat' selepas tewas 0-1 di Southampton yang meneruskan kemarau kemenangan aksi Liga Perdana kepada tiga perlawanan.

Jaringan cantik Danny Ings pada minit kedua membolehkan Southampton meraih tiga mata yang melonjakkan mereka ke tangga keenam dan membuatkan pengurus, Ralph Hasenhuttl mengalirkan air mata sejurus tiupan wisel.

Liverpool kekal di puncak berdasarkan perbezaan jaringan dengan Manchester United tetapi beraksi lebih satu perlawanan berbanding Red Devils yang akan berkunjung ke Anfield pada 17 Januari.

"Ia detik berkarat, kami perlu akuinya," kata Klopp yang skuadnya gagal menang tiga aksi Liga Perdana berturut-turut sejak Mei 2018.

"Hanya apabila anda tahu masalah, baru anda boleh selesaikannya, kami tidak buta. Kami perlu berjuang dan mengharunginya dalam tempoh ini."

Southampton pula gagal menjaringkan gol dalam tiga aksi terakhir yang menjejaskan impian Eropah mereka tetapi hanya perlukan dua minit mendahului perlawanan menerusi bekas penyerang Liverpool, Ings.

Trent Alexander-Arnold gagal menyekat sepakan percuma James Ward-Prowse yang menuju ke kotak penalti dan Ings bijak melambungkan bola melepasi Alisson Becker ke penjuru gawang.

United dan Manchester City kini berpeluang cerah dalam perebutan kejuaraan liga apabila kedua-duanya bakal memintas Liverpool jika menang kelebihan perlawanan masing-masing.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 7:37am
d