WM

Jenis susu untuk mandian

Oleh Nurul Husna Mahmud

RAWATAN kulit dengan susu antara amalan ribuan tahun dan masih menjadi pilihan kebanyakan pusat kecantikan menawarkan perkhidmatan seperti mandi susu.

Mengimbau peranan susu di Amerika Syarikat, 'buttermilk' antara pupur muka yang menjadi pilihan sehingga hari ini, manakala ratu kecantikan legenda Cleopatra pula dikatakan memiliki kulit mulus disebabkan amalan mandi susu dan madu.

Penemuan saintifik pula mendapati kandungan asid laktik dalam susu membantu mengurai ikatan sel mati dan membantu pembaikan sel semula sehingga menjadikan kulit semakin lembut serta cerah.

Namun penggunaan susu segar mahal dan anda boleh memilih menggunakan susu lain sebagai alternatif.

Berikut antara susu digunakan untuk merapi kulit:

Susu pekat manis

Pilihan susu ini lebih murah sebagai alternatif kepada penggunaan susu dan madu segar. Ia lebih efektif dalam menghilangkan lebam bawah mata.

Caranya, susu yang sudah disejukkan dioles pada bahagian bawah mata dan diurut lembut. Biarkan seketika atau kesan lebih baik dibiarkan sejam dan barulah dibilas.

Susu Tepung

Penggunaan susu tepung biasanya dipadankan dengan ramuan lain bagi meningkatkan efek susu kepada kulit. Campuran dengan parutan timun dan gula digosok pada permukaan wajah boleh menjadi pupur yang dapat menghilangkan parut hitam serta mengembalikan kemulusan kulit.

Susu Kambing

Susu yang rendah kandungan lemak ini dikatakan mempunyai elemen anti kuman (antiseptik) dan menjadi bahan paling baik dalam memutihkan kulit.

Meskipun mahal tetapi kaedah penggunaan yang menggunakan sejumlah kecil susu membantu mengurangkan kos mandi susu.

Kaedah paling baik ialah susu kambing dipanaskan sekitar 66 darjah dan dibiarkan semalaman sehingga terhasil lapisan lemak dipermukaan susu. Lemak berkenaan digunakan sebagai perapi atau pemutih semula jadi.

'Buttermilk'

'Buttermilk' adalah susu yang dihasilkan dari pembuatan mentega dan krim yang ditapai semula jadi. Rasanya sedikit asam, sedikit manis dan kaya akan krim serta kental seperti yoghurt. Ia juga digunakan dalam membuat lulur badan.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 6:50am
d