mutakhir

Mangsa banjir di Sabah meningkat

Oleh Yun Mikail

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 895 orang setakat 8.30 pagi ini yang membabitkan 258 keluarga.

Mereka ditempatkan di 16 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan daerah iaitu Beaufort, Paitan, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Kota Belud, Tuaran, Papar dan Tenom.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, peningkatan 59 orang itu berbanding 836 mangsa daripada 237 keluarga sehingga 8 malam semalam.

Katanya, Kota Belud kekal daerah paling teruk terjejas dengan 264 mangsa membabitkan 88 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

"Ia diikuti Beaufort seramai 142 orang (48 keluarga) di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir dan PPS Dewan Pa' Musa.

"Tuaran pula merekod 106 mangsa (18 keluarga), manakala Kota Kinabalu 101 orang (18 keluarga) masing-masing di dua PPS," katanya.

Dalam pada itu, 75 mangsa banjir dipindahkan di dua PPS di Tenom iaitu di Rumah Kebudayaan Kampung Kalang Kanar dan Rumah Kebudayaan Pogoukon Laut.

"Sementara Penampang merekodkan 68 mangsa daripada 17 keluarga, Putatan (49 mangsa, 13 keluarga), Paitan (48 mangsa, 14 keluarga) dan Papar (41 mangsa, 18 keluarga)," katanya.

Menurut jurucakap itu, semua mangsa adalah dari 230 kampung, selain 53 jalan ditenggelami banjir.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 9:20am
d