mutakhir

Cuba-cubalah patuh SOP...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Tindakan 11 individu termasuk empat wanita melepak mengundang padah apabila mereka dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Difahamkan, kesemua mereka berusia 20-an itu didapati sedang berkumpul tanpa tujuan di tempat letak kereta berhadapan sebuah tokong di Pasir Panjang, Sitiawan, di sini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam pemantauan dari 4 petang hingga 12 tengah malam, individu itu didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) iaitu berkumpul melebihi 10 orang yang dibenarkan dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Mereka dikompaun mengikut Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi SOP serta mengikuti arahan pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, tindakan tegas akan diambil sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 2:37pm
d