vroom

Gaya unik, 'rare' [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

SEKITAR 90-an, ketika produk Proton sedang hangat di pasaran, Edaran Otomobil Nasional (EON) tanpa disangka-sangka memperkenalkan model prestij Proton Executive dan Limousine.

Proton Limousine seolah-olah mencabar kehebatan limosin keluaran negara Barat, namun ia dijual bukan pada harga 'orang kaya' sebaliknya pada harga lebih kompetetif berbanding pilihan yang terdapat dalam pasaran ketika itu.

Untuk model Saga dan Iswara, terdapat tiga saiz dengan kepanjangan limosin yang ditawarkan ialah 4.8 meter, 5.1 meter dan 5.5 meter pada harga RM69,800 sehingga RM165,000.

Selepas kira-kira 35 tahun di atas jalan, kelibat Proton Limousine kini cukup jarang dilihat. Di mana kereta kebanggaan Malaysia ini berada? Sudah lupus? Sudah hilang ditelan peredaran zaman atau sekadar jadi besi buruk?

Mengikut sejarah, model limosin Proton ini dihasilkan oleh anak syarikat kepada Edaran Otomobil Nasional (EON) iaitu Automotive Conversion Engineering Sdn Bhd (ACE) yang ditubuhkan pada 25 Ogos 1990.

Ketika awal 90-an, Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad (Perdana Menteri ketika itu) meminta EON meneroka bidang mengubah suai Proton Saga biasa menjadi versi lebih panjang dan mewah.

ACE juga pada ketika itu diberi hak pembuatan eksklusif oleh kerajaan dalam menghasilkan kereta eksekutif dan limosin.

Mereka juga memeterai perjanjian perkongsian dengan pereka Itali yang bermastautin di Australia iaitu Aldo Travaglini sebagai konsultan ACE yang mempunyai kepakaran sebagai pereka dan mengubah suai kereta biasa menjadi versi limosin yang dihasilkan secara komersial.

Dianggarkan, 2,000 unit Proton Executive dan 300 unit Limousine pernah dihasilkan ACE sehingga 2007.

Selain Saga dan Iswara, Proton juga memperkenalkan versi limosin untuk model seperti Wira, Waja dan Perdana yang kebanyakan digunakan oleh perdana menteri dan menteri Kabinet sepanjang tempoh itu.

Antara pemilik dalam kalangan VVIP yang menggunakan Proton Saga Limousine ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (ketika itu Raja Muda Selangor) iaitu pada 1990 dengan binaan khas mengikut cita rasa baginda yang dipadankan warna Biru Midnight.

ACE masih wujud dan kini beroperasi di kilang Proton di Shah Alam, Selangor dalam membangunkan model khas mengikut permintaan pelanggan serta sebagai konsultan kejuruteraan dan kerja restorasi model terdahulu Proton.

Syarikat ini juga satu-satunya juga yang mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam penghasilan model seperti limosin dengan spesifikasi yang ditetapkan.

Vroom cuba menjejak kereta yang pernah menjadi pujaan 'abang drebar' selain pemiliknya.

Vroom gembira dapat bertemu empat pemilik daripada komuniti Pemilik Proton Saga Iswara Limousine yang sudi 'turun padang' mempersembahkan model 'rare' ini.

Seorang daripadanya, Muhamad Fauwaz Zamzam, 39, yang juga pengumpul kereta dan gemarkan kenderaan yang unik serta lain daripada yang lain ada tujuan tersendiri memiliki model ini.

Proton Iswara keluaran 1993 milik Muhammad Fauwaz dibeli tiga tahun lalu dan ia tampil berbeza kerana model terpanjang dalam siri pengeluarannya iaitu 5.5 meter.

Selepas carian dan mengumpul maklumat, hanya empat unit Iswara varian ini yang masih wujud dan masih boleh beroperasi seperti biasa di Malaysia.

"Saya beli kereta ini pada harga kira-kira RM30,000 dan ia pembelian yang berbaloi kerana saya cukup minat dengannya selain sangat sukar diperoleh.

"Tidak banyak pengubahsuaian dilakukan kecuali mengecat warna baharu, menambah bumbung suria dan menukar kotak gear transmisi automatik kepada manual," katanya yang bertugas sebagai juruterbang.

Ia didatangkan dengan enjin 2.0 model G63 petrol dan kos pengubahsuaian sekitar RM20,000, termasuk kerusi dalaman untuk enam penumpang.

Bagi menguji keupayaan, Iswara Limousine ini pernah dipandu ke lokasi pilihan peminat permotoran iaitu Thousand Corner di Utara Thailand dengan jarak 2,500 kilometer (km) dari Kuala Lumpur.

Kamaruzzaman Abdul Rashid, 33, pula memiliki Proton Saga Limousine keluaran 1991 yang dibeli lebih setahun lalu daripada seorang individu yang menggunakannya selama lebih 25 tahun.

Ia didatangkan dengan enjin 1.5 liter 4G15P Megavalve 12V SOHC dengan kotak gear transmisi automatik tiga kelajuan dan saiz panjang kenderaan 4.8 meter.

"Selain dapat harga 'runtuh' sekitar RM5,000 yang untuk harga pasaran kini pada sekitar RM15,000 ke RM20,000, ia juga kekal ciri standard asli seperti asal.

"Sebagai peminat model Proton Saga, memiliki unit yang unik dan pelik ini satu kepuasan. Saya juga gembira kerana dapat memulihara antara model yang menjadi sebahagian daripada sejarah automotif di negara ini," katanya yang bertugas sebagai pembantu pegawai teknik.

Katanya antara cabaran memandu limosin ialah ketika membuat pusingan U dan parkir, namun ia menawarkan keselesaan terbaik untuk perjalanan jarak jauh.

Buat Muhamad Hasni Farid Haironi, 30, dia membeli Saga Limousine keluaran 1993 pada 2019 dengan harga RM23,000 dan kos baik pulih pula sekitar RM8,000.

"Saya ada banyak perancangan lain untuk dilakukan pada kenderaan ini yang akan dilakukan secara berperingkat seperti memasang kabinet dalaman dengan tema kenderaan serba hitam pada bahagian luaran dan dalaman," katanya yang juga koordinator projek.

Nur Zaimi Zafri, 33, pula membeli Iswara Limousine sepanjang 4.8 meter ini tiga tahun lalu pada harga RM12,000 dan melakukan baik pulih terhadap bahagian luaran serta enjin.

"Saya membeli kereta ini dalam keadaan kira-kira 70 peratus rosak dan kos pembaikannya kira-kira RM30,000. Ia mengambil masa dua tahun untuk disiapkan kerana perlu mendapatkan barangan dan alat ganti berkualiti," katanya yang juga juruteknik.

Antara perancangan lain Zaimi ialah untuk memiliki model Wira dan Perdana Limousine sebagai tambahan koleksi sedia ada.

Komuniti Pemilik Proton Saga Iswara Limousine kini mempunyai 39 ahli terdiri daripada pemilik model unik ini dari seluruh negara.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 9:32am
d