addin

Al-Baihaqi pengumpul ilmu Imam Syafie

Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Pada masa dahulu, kota Naisabur antara pusat kegiatan ilmu yang cukup masyhur sama seperti kota Baghdad dan kota Dimasyq. Naisabur yang kini dalam negara Iran, dahulunya kota ilmu bagi golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Dalam kitab Tarikh Naisabur, Imam al-Hakim an-Naisaburi (wafat 405H) merekodkan 1,375 tokoh ilmuwan yang pernah tinggal atau singgah di kota Naisabur. Bilangan ini ditambah oleh Abd al-Ghafir al-Farisi (wafat 529H) dalam kitab Zail Tarikh Naisabur sehingga mencecah 1,699 orang tokoh.

Antara tokoh penting dari kota ini ialah Imam al-Baihaqi atau nama penuhnya Abu Bakr Ahmad bin al-Husain bin Ali bin Abdullah al-Baihaqi, nisbah kepada daerah Baihaq di Naisabur. Al-Baihaqi tokoh ulama mazhab Syafie tersohor dan handal dalam pelbagai bidang ilmu terutama hadis, fiqah, usul serta akidah.

Beliau dilahirkan di Khusraujird, sebuah kampung dalam daerah Baihaq pada 384H. Dari Baihaq beliau mengembara mencari ilmu ke pelbagai daerah Islam yang lain seperti Khurasan, Baghdad, Kufah dan Hijjaz.

Imam al-Baihaqi berguru dengan ramai alim ulama pada zamannya. Jumlah keseluruhan mereka kira-kira 230 syeikh. Antara gurunya yang memberi pengaruh besar terhadapnya dalam bidang hadis ialah Imam al-Hakim an-Naisaburi, pengarang al-Mustadrak ala as-Sahihain yang terkenal. Beliau meriwayatkan daripadanya lebih daripada 10,000 riwayat.

Dengan usaha yang gigih, Imam al-Baihaqi tekun mempelajari perbagai ilmu pengetahuan dalam tempoh yang cukup panjang. Setelah hampir 30 tahun di perantauan, beliau akhirnya kembali semula ke tempat asalnya, Baihaq.

Namanya kemudian mula dikenali masyarakat sehingga dijemput oleh ulama untuk datang ke kota Naisabur bagi mengajar dan menyebarkan ilmunya. Selain mengajar, beliau turut aktif menghasilkan pelbagai karya. Bilangan karyanya dikatakan mencecah hampir 1,000 juzuk. Judul karyanya yang diketahui setakat ini adalah sekitar 50 judul.

Keluasan ilmu Imam al-Baihaqi cukup luar biasa sehingga al-Hafiz az-Zahabi menyebut dalam Siyar A'lam an-Nubala': "Kalau al-Baihaqi mahu membuat mazhab sendiri dan berijtihad padanya, nescaya beliau mampu berbuat demikian kerana keluasan ilmunya dan penguasaannya tentang perselisihan pendapat para ulama."

Namun, beliau tetap cenderung berpegang kepada mazhab Imam as-Syafie (wafat 204H) sehingga menjadi pengumpul ilmu dan penyebar mazhabnya yang terkenal.

Beliau berusaha mengumpulkan teks fiqah Imam as-Syafie di dalam kitab al-Mabsut yang dikatakan setebal 20 jilid.

Sumbangan Imam al-Baihaqi terhadap mazhab Syafie cukup besar sehingga Imam al-Haramain al-Juwaini (wafat 478H) berkata: "Tidak ada seorang pun pengikut as-Syafie melainkan as-Syafie memiliki jasa kepadanya kecuali al-Baihaqi. Maka, dia yang memiliki jasa kepada as-Syafie disebabkan karya beliau yang bertujuan membela mazhabnya dan pandangannya."

Sanjungan tinggi ini antaranya adalah berdasarkan kepakaran Imam al-Baihaqi dalam bidang hadis, terutama daripada aspek al-'ilal (kecacatan hadis), al-jarh wa at-ta'dil (penilaian terhadap kredibiliti perawi hadis) dan mukhtalif al-hadith (percanggahan antara hadis).

Kitab agungnya, al-Sunan al-Kubra menghimpunkan semua hadis yang menjadi dalil dalam mazhab Syafie. Ia mengandungi sebanyak 21,844 hadis dan athar yang dihimpunkan daripada lebih 180 syeikh. Menurut Imam Ibn as-Solah (wafat 643H): "Sesungguhnya kami tidak tahu ada kitab yang seumpama itu dalam babnya."

Ramai ulama yang memuji dan mengagumi usaha yang dilakukan oleh al-Baihaqi termasuk sahabatnya, Imam Abu Muhammad al-Juwaini (wafat 448H). Al-Baihaqi turut mengarang sebuah mukadimah bagi kitab itu secara berasingan yang diberi judul Al-Madkhal ila as-Sunan al-Kubra yang menjelaskan kepentingan ilmu dan adabnya. Kitab lebih kecil, As-Sunan as-Sughra pula menghimpunkan dalil utama mazhab Syafie yang berjumlah 3,503 hadis dan athar.

Dalam memberi respons balas terhadap kritikan Imam at-Tahawi al-Hanafi (wafat 321H) terhadap mazhab Syafie, al-Baihaqi menyusun kitab Ma'rifat al-Sunan wa al-Athar yang menghimpunkan semua perkara berkaitan Imam as-Syafie termasuk dalil hadis, athar, ijtihad dan pelbagai pandangan beliau.

Antara karya lain al-Baihaqi berkaitan Imam as-Syafie ialah kitab Ahkam al-Quran yang menghimpunkan penjelasan Imam as-Syafie mengenai ayat hukum, kitab Bayan Khata' Man Akhta'a 'ala as-Syafi'i yang membela ijtihad Imam as-Syafie, al-Khilafiyyat yang menghimpunkan masalah fiqah yang diperselisihkan antara mazhab Hanafi dan mazhab Syafie, serta kitab Manaqib al-Imam as-Syafi'i yang mengumpulkan biografinya secara lengkap. Imam al-Baihaqi meninggal dunia pada 458H pada usia 74 tahun. Jenazahnya dimakamkan di kampung halamannya, Khusraujird.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Disiarkan pada: January 31, 2021 @ 9:07am
d