rencana

Tanda tanya selepas 15 tahun

Oleh Nadir Al-Nuri

Minggu ini kepemimpinan faksi Palestin yang berkumpul di Kaherah, Mesir mewartakan persetujuan bersama mengadakan pilihan raya Palestin membabitkan pilihan raya parlimen dan pilihan raya presiden pada 22 Mei dan 31 Julai tahun ini.

Ia pastinya berita yang menggembirakan pada masa sama mengejutkan buat penduduk berikutan kali terakhir pilihan raya diadakan di Palestin pada 2006 dan ketika itu, Hamas menang tanpa disangka.

Keputusan mengadakan pilihan raya dicetuskan Presiden Palestin Mahmud Abbas tahun lalu secara mengejut selepas kemenangan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Sehingga hari ini, punca perubahan pemikiran pemimpin tertinggi Fatah berusia 85 tahun itu masih menimbulkan tanda tanya. Apa punca pilihan raya mahu dibuat ketika ini selepas 15 tahun?

Adakah ia usaha mengembalikan pengiktirafan terhadap kepemimpinannya sebagai presiden selepas lesu kerana memerintah sejak 2005 tanpa bertukar tatkala di bawahnya tujuh perdana menteri bertukar tangan?

Adakah ia perancangan menghapuskan Hamas secara terhormat daripada lapangan politik Palestin melalui kemenangan besar Fatah? Malah, jika Fatah menang, adakah polisi mereka terhadap Israel akan bertambah longgar dan kerjasama bersama negara haram itu akan berlaku secara lebih nyata dan terbuka?

Rakyat mempunyai hak untuk takut. Mimpi ngeri perang saudara yang berlaku pada 2006 antara Fatah dan Hamas masih menghantui banyak pihak. Ketika berita kemenangan selesa Hamas dalam pilihan raya tersebar, Fatah enggan mengiktiraf kemenangan itu, khususnya di Gaza.

Mereka berkeras mempertahankan kuasa sehingga berlaku pergaduhan antara pihak sekuriti Fatah dan Hamas yang menyebabkan perang kecil. Lebih 100 orang meninggal dunia dan ramai yang cedera. Sehingga hari ini, masih ada keluarga yang menyimpan dendam di atas kematian anggota mereka dalam konflik berkenaan.

Justeru, jika Hamas menang lagi dalam pilihan raya kali ini apa pula yang akan berlaku? Adakah pihak yang menang akan diiktiraf dan diserahkan kepadanya kuasa? Atau adakah akan berlaku perang saudara dan pertumpahan darah yang lebih besar? Jika Fatah yang berjaya menawan hati rakyat, adakah Hamas yang sudah pasti tidak akan menyerahkan senjatanya di bawah sayap tentera Briged Izzuddin Al-Qassam akan bertukar menjadi kerajaan ala Hizbullah di Lubnan dengan memiliki tentera parti yang berbeza dengan tentera rasmi negara?

Persoalannya, siapa pun yang menang, bagaimana pula penerimaan negara luar dengan kemenangan itu? Adakah Amerika akan kembali menjadi orang tengah yang adil atau meneruskan polisi berat sebelah yang nyata terhadap Israel?

Sekurang-kurangnya Kesatuan Eropah kali ini dilihat lebih bersedia bekerjasama dengan kerajaan baharu yang dibentuk dengan syarat penerimaan terhadap solusi dua negara atau two state-solution. Kesatuan Eropah dilaporkan akan lebih lentur terhadap pendirian sebelum ini pada 2006 terhadap Hamas apabila syarat bekerjasama ialah pengiktirafan terhadap Israel, penerimaan resolusi antarabangsa, menerima jalan rundingan sebagai penyelesaian dan menolak penentangan bersenjata, syarat yang ditolak Hamas.

Berdasarkan timbul begitu banyak persoalan, persoalan baharu yang paling utama timbul. Adakah pilihan raya Palestin ini benar-benar jalan yang akan menyelesaikan kesempitan hidup yang dirasai penduduk di Gaza dan kezaliman serta penganiayaan penduduk di Tebing Barat dan Palestin dijajah.

Atau adakah ia hanya sandiwara politik yang akhirnya tidak akan membawa apa-apa perubahan di lapangan? Kita hanya mampu menanti dan memerhatikan.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 6:00am
d