Bola Sepak

Aksi sumbangsih JDT, KDA FC buka saingan 2021

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengeluarkan jadual rasmi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021, yang bakal membuka tirai dengan perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada 5 Mac ini.

Perlawanan bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah itu, bakal menemukan juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), sekali gus menyaksikan pertembungan kali keempat kedua-dua pasukan dalam lima edisi, sejak musim 2017.

Pada masa sama, antara perlawanan tumpuan minggu pertama saingan Liga Super ialah pertemuan Selangor FC berdepan Sri Pahang FC yang dijadual berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 6 Mac.

Perlawanan antara naib juara Liga Perdana 2020 Terengganu FC II (TFC II) dan pendatang baharu Skuad Projek FAM-MSN di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pula menjadi aksi menarik minggu pertama Liga Perdana 2021, yang turut membuka tirai pada 6 Mac.

"Seperti makluman MFL sebelum ini, di mana tiada kejohanan Piala FA bagi musim 2021, MFL berharap kesemua pasukan dapat melakukan persiapan terbaik dalam memastikan persembahan berkualiti, selepas jadual liga ini dikeluarkan," kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan hari ini.

"Pada masa sama, MFL turut berharap kesemua pasukan akan sentiasa kekal patuh dengan setiap SOP, di mana setiap pasukan telah pun diberi kebenaran mengadakan program latihan berpusat secara gelembung, menerusi dua kaedah iaitu 'Home' dan 'Camp Quarantine'," katanya.

Beliau berkata, MFL menyedari akan cabaran dihadapi industri bola sepak dalam pandemik Covid-19 ketika ini, namun percaya keharmonian saingan Liga-M kekal terjaga sekiranya semua pihak memainkan peranan dengan baik, dalam mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sementara itu, Ab Ghani berkata MFL menaruh harapan kerajaan dapat membenarkan kehadiran penonton ke stadium berskala kecil, jika kes positif Covid-19 menurun pada masa akan datang selepas turut mengusulkan cadangan itu melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada November lepas.

"Itulah harapan MFL, kami mahu venue diceriakan dengan kehadiran penyokong bola sepak tempatan. MFL mengucapkan terima kasih kepada KBS atas sokongan kepada bola sepak tempatan, sepanjang kempen Liga M 2020 dan bagi musim 2021," katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2021 @ 8:03pm
d