mutakhir

Maidam bantu adik Adam [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kerisauan pasangan suami isteri mencari sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan perubatan anak bongsunya berakhir selepas Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu tampil menghulurkan bantuan, hari ini.

Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, ibu kepada Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman atau Adam, 47 hari dan disahkan mengidap penyakit saraf tulang belakang dan otak di luar tempurung kepala, sebak dan tidak putus-putus mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan kepada anaknya itu.

"Saya hilang punca dan arah mencari kewangan bagi menampung perbelanjaan membawa Adam mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kubang Kerian (HUSM), Kubang Kerian, esok.

"Pada mulanya, saya bercadang untuk meminjam wang daripada bapa bagi menampung perbelanjaan untuk membawa Adam mendapatkan rawatan.

"Saya juga membatalkan hasrat menjual rantai emas selepas dimaklumkan bahawa Maidam bersetuju dan meluluskan bantuan perubatan untuk rawatan Adam," katanya.

Fatin Hazlin Dahlia ditemui selepas menerima bantuan perubatan berjumlah RM8,000 dan pelbagai barangan lain termasuk susu tepung, lampin pakai buang dan ubat seperti disarankan pakar perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Bantuan perubatan untuk meringankan bebanan kewangan dihadapi Fatin Hazlin Dahlia dan Mohd Lekman bagi menampung kos perubatan Adam disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam M Rozi Bidin di kediamannya di Kampung Batu Hampar, Manir di sini.

Minggu lalu dilaporkan mengenai penderitaan terpaksa dihadapi Adam yang dilahirkan pada 13 Januari lalu.

Ketika berusia tujuh hari, Adam juga sudah menjalani pembedahan bahagian belakang bertujuan membetulkan saraf tunjang.

Sementara itu, M Rozi yang mewakili Yang Dipertua Maidam Datuk Osman Muda mengesahkan bantuan perubatan disalurkan akan disusuli dengan bantuan lain.

"Kita meminta pegawai penyiasat sentiasa melakukan pemantauan dan melaporkan perkembangan Adam selepas menjalani rawatan," katanya.

Berita berkaitan

Beratnya dugaan Adam...[METROTV]

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 4:11pm
d