mutakhir

Asrama pekerja warga asing kotor, padat

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Klang: Kotor, jijik dan padat. Itu situasi di beberapa asrama pekerja yang dihuni pekerja warga asing disediakan majikan mereka.

Ada asrama yang hanya menyediakan papan lapis kepada pekerja mereka selain terpaksa tinggal bersama sampah yang tidak dibuang

Bagaimanapun, tindakan majikan yang tidak berperikemanusiaan itu akhirnya terbongkar apabila Jabatan Tenaga Kerja (JTK) melakukan pemeriksaan mengejut di 400 unit asrama pekerja sekitar Klang, Banting dan Kapar, semalam.

Pengarah JTK Selangor Ahmad Mudi Onn Nor berkata, dalam operasi khas Pematuhan Penginapan Kebangsaan memeriksa 400 unit penginapan yang disediakan lima majikan.

"Sebuah kilang membuat sarung tangan didapati menyediakan penginapan dalam keadaan kotor dan padat sekali gus melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Mereka juga didapati tidak menyediakan kemudahan minimum untuk bangunan yang tidak memenuhi spesifikasi seperti tilam yang kurang daripada empat inci tebal, tong sampah bertutup, tidak menyediakan peti pertolongan cemas, dan almari berkunci mengikut spesifikasi," katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Mudi berkata, pemeriksaan turut mendapati majikan menyediakan penginapan melebihi kapasiti yang ditetapkan.

"Ada majikan yang faham dan berusaha untuk memenuhi kehendak dan peraturan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan, dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Semua lima majikan diambil tindakan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan, dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446)," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2021 @ 4:20pm
d