PESERTA sedang menjalani latihan mengenal pasti kedudukan cervix lembu.
LEMBU dimasukkan di dalam alat kekangan.
AFFENDI (kiri) bersama Mohd Rifanni melakukan proses permanian beradas.
MOHD Rifanni mengeluarkan tiub berisi sperma baka lembu yang disimpan dalam tangki cecair Liquid Nitrogen.
Oleh Saiful Iskandar Ismail
rencana@hmetro.com.my

Kepesatan pembangunan sekitar Lembah Klang khususnya Selangor, menyaksikan kawasan tanah yang sesuai untuk aktiviti penternakan di negeri itu kini kian berkurangan.

Pada masa sama kepadatan penduduk menyaksikan peningkatan permintaan terhadap bekalan daging khususnya lembu dan kambing.

Ketika ini, ada kira-kira 600 penternak dalam pelbagai skala di seluruh Selangor membabitkan kira-kira 12,000 ekor lembu.

Dalam usaha meningkatkan bekalan daging untuk memenuhi permintaan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor mengambil inisiatif melaksanakan program Permanian Beradas (AI) kepada penternak yang berminat.

Ia membabitkan kacukan lembu tempatan khususnya daripada baka Kedah Kelantan (KK) dan Local Indian Dairy (LID) dengan benih lembu yang diimport dari luar negara.

Antara baka terbabit Brahman, Charolaise, Belgian Bleu dan Limousine serta Blonde yang dibawa dari Perancis, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Sperma baka lembu yang dibawa masuk untuk tujuan AI dimasukkan dalam tiub yang disimpan dalam tangki stok sperma berisi cecair Liquid Nitrogen pada suhu serendah negatif 196 darjah Selsius. Ia mampu disimpan dan mempunyai ketahanan hingga puluhan tahun.

Penolong Pegawai Veterinar JPV Selangor Affendi Kasla berkata, walaupun AI sudah lama menjadi amalan penternak negara ini khususnya di Kelantan, aktiviti itu hanya bermula di Selangor sejak 2012.

Beliau berkata, hasil aktiviti itu tahun lalu, 120 anak lembu diperoleh menerusi pendekatan AI dan sejak awal tahun ini hingga April, 139 ibu lembu sudah diberi suntikan permanian beradas.

“Proses AI dilakukan secara menyuntik sperma lembu jantan yang diimport ke dalam kelamin ibu lembu tempatan ketika ia menunjukkan tanda-tanda biang atau sedia untuk mengawan.

“Antara kebaikan kaedah AI termasuk anak lembu yang dilahirkan lebih cepat membesar kerana potensi mengikut baka disuntik seterusnya menghasilkan banyak daging dan mengeluarkan lebih banyak susu bagi yang betina untuk lembu tenusu,” katanya.

Affendi berkata, ketika ini masih ramai penternak di Selangor yang kurang mengetahui kemudahan AI yang disediakan pejabat JPV seluruh negeri secara percuma.

“Seboleh-bolehnya, kami mahu menggalakkan semua penternak beralih kepada AI kerana dapat meningkatkan genetik ternakan, ekoran kawasan ternakan kian terhad.

“Ini kerana lembu yang bakal diternak penduduk memberi pulangan hasil daging yang tinggi walaupun jumlah ternakan kecil disebabkan kadar tumbesarannya lebih baik berbanding lembu kampung biasa.

“Baka lembu tempatan, biasanya mempunyai berat maksimum hingga 300 kilogram (kg) bagi betina dan 400kg bagi jantan dengan kadar tumbesaran harian antara 800 gram hingga satu kg saja.

“Namun, anak lembu baka kacukan yang jantan mampu mencapai berat hingga 800kg dalam tempoh dua tahun kerana kadar tumbesaran harian mencapai 1.2 hingga 2kg sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau penternakan lembu di kandang milik Jelapang Warisan Sdn Bhd dekat Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Di kandang lembu milik Jelapang Warisan kepunyaan arkitek, Zulkhairi Mohd Zain itu, empat lembu kacukan baka Charolaise yang dihasilkan menerusi kaedah AI di situ, mempunyai nilai menyamai 20 ekor lembu kampung.

Sementara itu, Penolong Pegawai Veterinar JPV Selangor, Mohd Rifanni Zawawi berkata, kos menghasilkan lembu kacukan juga tidak tinggi kerana JPV membawa benih yang terbaik untuk pelaksanaan AI tanpa perlu mengimport lembu baka untuk tujuan kacukan secara semula jadi.

“Usaha membawa sperma baka lembu dari luar negara adalah jauh lebih jimat, selamat dan mempunyai ketahanan tinggi, berbanding mengimport induk jantan yang menelan belanja besar. Selain berdepan risiko kematian akibat tekanan berikutan perubahan iklim dan persekitaran.

“Dalam usaha memperluaskan kemudahan dan menggalakkan penternak Selangor menggunakan kaedah AI, JPV kini turut menganjurkan latihan kepada mereka yang berminat melakukan sendiri proses suntikan sperma terbabit menggunakan benih disediakan jabatan itu,” katanya.

Mohd Rifanni berkata, menerusi kaedah ‘Do It Yourself’ (DIY) itu, semua peserta yang mengikuti kursus selama tiga hari dua malam diberikan tunjuk ajar hingga mampu mengendalikan sendiri proses AI.

Katanya, ketika ini ada tujuh penternak di Selangor termasuk Zulkhairi, mempunyai kemahiran mengendalikan proses suntikan AI, dalam usaha membantu JPV menggalakkan lebih ramai penternak beralih kepada pembiakan secara suntikan itu.

Malah pihaknya juga menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 20 penternak bagi menguasai kemahiran melakukan suntikan AI di seluruh Selangor sSebelum diberi kelengkapan bagi mengendalikan tugas itu di ladang sendiri dan kawasan berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:47 AM