mutakhir

Sasar 25,000 rumah untuk ATM, veteran

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan mensasarkan pembinaan 25,000 rumah untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran menjelang 2030.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk dalam program 'Satu Anggota Satu Rumah' (SASaR) yang sudah dilancarkan sejak 2016.

Beliau berkata, program itu menetapkan objektif setiap anggota dan veteran memiliki rumah sendiri.

"Selepas bersara ramai tak mampu beli rumah sendiri khusus di Lembah Klang, menyewa sampai bila-bila.

"Projek di bawah SASaR menawarkan harga lebih murah berbanding di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi pembangunan projek SASaR Satria Residensi, Kem Transmitter, Sungai Besi, di sini, hari ini.

Mengenai projek SASaR Satria Residensi itu, katanya, ia membabitkan 3,500 unit rumah jenis pangsapuri dijangka siap tempoh tiga tahun.

"Harga lebih murah dari luar iaitu bagi unit berkeluasan 1,000 kaki persegi (93 meter persegi) ialah RM150,000.

"Harga unit berkeluasan 1,100 kaki persegi (102 meter persegi) ialah RM199,000.

"Harga unit berkeluasan 1,200 kaki persegi (111 meter persegi) ialah RM250,000," katanya.

Beliau berkata, pelbagai kemudahan awam disediakan seperti dewan orang ramai, surau dan balai pengawal.

Menurutnya, selain itu terdapat projek SASaR Genting Klang dan SASaR Wardieburn.

"Kementerian Pertahanan berharap dengan adanya pembangunan SASaR ini, dapat menangani masalah kekurangan rumah keluarga angkatan tentera terutamanya di kawasan Lembah Klang," katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2021 @ 5:03pm
d