mutakhir

APMM tahan empat nelayan Myanmar

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot bersama empat nelayan warga Myanmar di perairan Pulau Pinang, semalam.

Mereka ditahan pada 9.20 pagi ketika bot berkenaan sedang menangkap ikan kira-kira 28.6 batu nautika barat Pulau Kendi, di sini.

Pengarah APMM Pulau Pinang Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kegiatan mereka dikesan ketika pihaknya melakukan rondaan menerusi Op Benteng Laut dan Op Pertiwi.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot dengan nombor pendaftaran sah itu dikendali empat warga asing termasuk tekong.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Mereka dibawa ke pejabat APMM Pulau Pinang bagi menjalani saringan Covid-19 untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: March 14, 2021 @ 7:02pm
d