mutakhir

Bekas kakitangan kastam mengaku salah menyamar pegawai kastam [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Seorang bekas kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu membabitkan kerugian RM2,500, pada empat tahun lalu.

Khairudin Abd Rahman, 51, yang bekerja sebagai pemandu van sekolah mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang peniaga berusia 33 tahun dengan menyamar sebagai pegawai kastam sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM2,500 yang mana dia tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Ia dilakukan di sebuah restoran di Yong Peng, Batu Pahat, kira-kira jam 2.15 petang, pada 19 Februari 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) K Shatesh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: March 17, 2021 @ 1:21pm
d