nuansa

Peka pemakanan haiwan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SEPERTI manusia, haiwan peliharaan juga memerlukan makanan seimbang dan bernutrisi untuk kesihatan dan tumbesarannya.

Bagaimanapun perlu diingat bahawa nutrisi manusia dan haiwan adalah berbeza.

Kesilapan memberi makanan yang sesuai kepada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing boleh memberi kesan kepada kesihatan untuk jangka masa panjang.

Haiwan peliharaan seperti kucing perlu diberi makanan yang berkhasiat untuk aktif, mempunyai mata yang bersinar dan bulu yang berkilat.

Pengarah Negara Mars Pet Nutrition Indonesia, Dr Susan Wan berkata, piramid makanan haiwan berbeza dengan manusia.

"Biarpun haiwan peliharaan seperti kucing memerlukan karbohidrat, protein, mineral seperti manusia namun keperluannya adalah berbeza.

"Sebagai contoh, kucing memerlukan empat kali lebih protein berbanding manusia untuk tumbesaran dapat membantu membaiki tisu-tisu dalam tubuh badannya.

"Diet seimbang sangat penting untuk haiwan peliharaan bukan sahaja untuk kekal sihat dan aktif malah membantu kepada tumbesarannya mengikut peringkat usianya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, kekurangan nutrisi terhadap haiwan peliharaan boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan antaranya masalah mata, jantung dan sebagainya.

Oleh itu, beliau menyarankan pemilik haiwan peliharaan sentiasa peka terhadap keperluan nutrisi makanan.

"Sebagai contoh, perlu diingat bahawa nutrisi untuk haiwan berbeza mengikut peringkat usianya.

"Selain itu pemilik haiwan, mereka perlu ketahui fungsi nutrisi tertentu di dalam makanan haiwan yang dibeli termasuk untuk kulit atau bulu cantik dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, masih terdapat segelintir daripada masyarakat yang tidak sedar memberi makanan secara berlebihan kepada haiwan boleh beri kesan kepada kesihatannya.

"Kadangkala terdapat juga yang memberi makanan yang salah termasuk baki makanan tidak habis kerana belum tentu ia mempunyai kandungan nutrisi yang diperlukan.

"Ada juga yang memberi makanan ringan mengandungi bahan yang tidak sepatutnya boleh membahayakan kesihatan haiwan terbabit," katanya.

Beliau berkata, kesedaran terhadap makanan seimbang untuk haiwan peliharaan masih boleh dipertingkatkan.

"Saya lihat ramai yang sudah mempunyai kesedaran mengenai kepentingan makanan bernutrisi untuk haiwan peliharaan dan berusaha mendapatkan maklumat tambahan.

"Di Mars, kita bukan sahaja mementingkan produk berkualiti malah membantu mendidik masyarakat melalui pelbagai program termasuk Program Pemilikan Haiwan Peliharaan Bertanggungjawab di sekolah dan di platform media sosial," katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan supaya orang ramai sentiasa memahami keperluan haiwan peliharaan.

"Sebelum memelihara haiwan, lengkapkan diri dengan ilmu untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab," katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2021 @ 6:08am
d