mutakhir

Jersi, seluar berjenama RM10 [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Kubang Pasu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 510 helai jersi dan 82 helai seluar berjenama terkenal yang disyaki tiruan dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bandar Darul Aman di sini.

Serbuan kira-kira 11 pagi itu merampas semua barangan terbabit dianggarkan bernilai RM12,660.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, pasukannya melakukan risikan selama kira-kira dua minggu sebelum menyerbu premis itu.

"Kami menemui pakaian berjenama terkenal, termasuk jersi skuad Harimau Malaya dan kelab bola sepak luar negara serta seluar berjenama Adidas, Nike dan Puma yang disyaki tiruan.

"Seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga pekerja di premis berkenaan ditahan untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di pejabat KPDNHEP cawangan Kubang Pasu di sini, hari ini.

Mohd Shahran, berkata siasatan awal mendapati premis perniagaan itu beroperasi sejak tahun lalu dan menjual pakaian berkenaan pada harga antara RM10 sehingga RM30.

Katanya, bekalan dipercayai diperoleh dari negara jiran dan pihaknya menyiasat modus operandi peniaga untuk membawa masuk stok itu.

"Rampasan ini adalah yang terbesar pada tahun ini di Kubang Pasu dan kita akan memanggil wakil pemilik cap dagangan ini untuk mengesahkannya," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan peniaga terbabit sedang dikenal pasti.

Disiarkan pada: March 25, 2021 @ 1:55pm
d