mutakhir

Guna kad pengenalan palsu, warga Indonesia dipenjara enam bulan

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Padah menggunakan kad pengenalan palsu sejak 20 tahun lalu, seorang lelaki warga Indonesia dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Roslan Tukijan berusia 57 tahun dan berasal dari Jawa Timur selepas dia membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan palsu atas nama seorang lelaki berusia 61 tahun beralamat di Kampung Bukit Raya, Hulu Langat, Selangor.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka kira-kira jam 2 petang, 31 Mac 2021.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1) (e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan ke atasnya kerana ingin pulang ke negara asal selain perlu menanggung keluarga.

Prosiding yang dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN negeri Mohd Nasrom Yusof meminta hukuman berat dikenakan kerana kesalahan tertuduh boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata, tertuduh juga sudah menggunakan kad pengenalan terbabit sejak 20 tahun lalu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Muhammad Nazrin kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan bermula tarikh ditangkap pada 31 Mac lalu.

Mahkamah turut memerintahkan warga emas terbabit diserahkan ke Jabatan Imigresen selepas tamat tempoh hukuman bagi tujuan pengusiran keluar dari negara ini.

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 3:03pm
d