mutakhir

Akhirnya Highland Towers bakal dirobohkan

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Ampang: Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Kelang yang terbiar selama 28 tahun, akhirnya bakal dirobohkan dalam masa terdekat.

Perkara itu diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin pada sidang media selepas merasmikan Kempen Sebuah Kehidupan di Ampang Glasshouse di sini, hari ini.

Menurutnya, lawatan kerja sudah dilakukan di tapak kondominium itu pada Selasa lalu sebelum proses seterusnya dilakukan.

"Syukur, Alhamdulillah selepas 28 tahun kita berjaya menempuh semua proses perundangan yang terbabit dan ia (tapak) sudah boleh dibersihkan dan (bangunan) dirobohkan.

"Keputusan ini pastinya menjadi satu ketenangan kepada penduduk yang tinggal berhampirannya," katanya.

Zuraida berkata, pihaknya kini hanya menunggu kebenaran daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi memulakan aktiviti pembersihan tapak itu.

Sementara itu, dalam kenyataan, kementerian itu memaklumkan permohonan peruntukan RM8.9 juta untuk pengambilan tanah seluas 0.81 hektar di tapak itu sudah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

"Kerja-kerja perobohan bangunan sedia ada dan pembersihan kawasan akan dibuat selepas pembayaran pampasan tanah diselesaikan, dijangka dalam masa terdekat.

"Projek pembangunan yang bersesuaian akan dilaksanakan di tapak itu bagi mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada secara lebih efektif," katanya.

Pada September 2020, Zuraida mencadangkan tapak Highland Towers dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

Highland Towers dikenali sususlan tragedi runtuhan satu daripada tiga blok kondominium itu pada 11 Disember 1993 yang meragut 48 nyawa.

Sejak itu, tapak berkenaan terbiar dan menjadi sarang penagihan dadah dan masalah sosial yang mengundang kurang senang penduduk setempat.

Disiarkan pada: April 8, 2021 @ 7:07pm
d