akademia

Hasil kemahiran ke luar negara

Oleh Suliati Asri

Terkejut. Itulah yang dirasai pengasas dan pemilik Batik AQ di Temerloh, Pahang, Muhammad Mustaqim Abd Manaf, 33, apabila rekaan Batik Sarung Pahang kini dijual di Amerika Syarikat selain memasuki tahun kesembilan.

Namun, selepas 200 rekaan, Muhammad Mustaqim yang lebih mesra disapa Mustaqim ini teruja dan lebih bersemangat serta mempunyai lebih inspirasi untuk menghasilkan rekaan terbaharu.

Bekas pelajar Sijil Seni Kraf Batik di Institut Kraftangan Negara (IKN) itu, tidak pernah terlintas di fikiran, hasil karyanya kini dipasarkan di luar negara.

Mengenang kembali pertemuan awal bersama pemilik Turtle Hand Batik, Tina Hilton, katanya, ia bermula apabila rakannya yang bekerja sebagai pemandu pelancong membawa Tina ke bengkel batiknya.

"Dalam berkarya dan menghasilkan produk batik, saya sentiasa cuba untuk menghasilkan sesuatu yang baharu dan tidak sama seperti yang ditawarkan di Terengganu dan Kelantan. Maka terhasillah Batik Sarung Pahang yang kini mendapat permintaan tinggi.

"Apabila rakan membawa Tina ke bengkel, dia berminat untuk membeli semua batik yang saya ada ketika itu.

"Itulah titik pertemuan saya dengan Tina yang sudah memasuki tahun kesembilan dan lebih 200 rekaan batik sarung yang dihantar kepadanya untuk pasaran Amerika Syarikat," katanya.

Lebih mengujakan lagi, setiap rekaan Batik Sarung Pahang yang dihasilkan Mustaqim adalah edisi terhad. Selain itu juga, semua hasil karya batik anak muda itu juga adalah 100 peratus hasil tangannya sendiri tanpa dibantu orang lain.

"Untuk pasaran dalam negara, hanya sehelai sarung dihasilkan untuk satu rekaan. Tetapi bagi rekaan luar negara pula, satu corak dan rekaan mempunyai pilihan pelbagai warna," tambahnya.

Minat melukis sejak berusia lima tahun, melanjutkan pengajian di IKN sememangnya sesuatu yang diimpikan kerana mahu memperkembangkan lagi pengetahuannya dalam bidang lukisan terutama batik.

Seperti pelajar lain, ada yang mempertikai keputusannya untuk melanjutkan pengajian yang berkaitan kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Namun, dengan minat yang mendalam dalam bidang lukisan dan batik, segala kata-kata dan tanggapan negatif itu dianggap positif dan menjadi pemangkin semangat baginya untuk terus berjaya dalam kursus yang diikuti.

Mengambil kursus berkaitan kemahiran ini sememangnya tidak merugikan atau tertumpu kepada satu kemahiran saja kerana ia boleh diperluaskan dan dikembangkan lagi mengikut kreativiti masing-masing.

Kata Mustaqim, sepanjang empat semester belajar di IKN, terlalu banyak ilmu dan kemahiran yang diperoleh.

"Saya minat melukis. Jadi, saya inginkan sesuatu yang baharu termasuk mencanting batik kerana di Pahang sendiri tidak banyak lokasi pelancongan yang khusus untuk mencanting batik seperti di Terengganu dan Kelantan.

"Apabila masuk IKN, saya cukup teruja kerana ilmu kemahiran yang diberikan sangat meluas. Banyak yang boleh dipelajari yang kita sendiri tidak jangkakan terutama membabitkan kemahiran ini.

"Walaupun kursus saya lebih fokus kepada batik, namun saya juga mempelajari kemahiran lain berkaitan kayu, rotan dan banyak lagi. Dengan itu, kelak saya boleh menghasilkan pelbagai produk batik yang menggabungkan elemen lain yang dipelajari di IKN itu," katanya.

Ramai menganggap TVET ini hanya terhad kepada kemahiran yang dipelajari sepanjang tempoh pengajian. Namun, hakikatnya kemahiran yang ada itu boleh dipertingkat dan diperluas ke pelbagai cabang sehingga ada kala di luar jangkauan.

Kata Mustaqim, ketika mahu memulakan perniagaan dia banyak membuat eksperimen sendiri untuk mendapatkan sesuatu yang baharu.

"Saya sebenarnya sangat suka belajar dan mencari ilmu. Justeru bidang kemahiran ini sememangnya cukup sesuai buat saya kerana tidak terikat untuk berkarya.

"Jika kebiasaan, lilin asas adalah bahan mentah utama yang digunakan untuk mencanting batik. Namun, saya tidak menggunakan lilin itu sebaliknya menggunakan lilin rumah.

"Hasil eksperimen yang saya lakukan menunjukkan bahawa walaupun kos menggunakan lilin rumah ini sedikit tinggi tetapi ia lebih berkualiti berbanding lilin asas," katanya.

"Saya juga sentiasa belajar dan menambah, mengembangkan ilmu dan berkongsi ilmu yang ada kepada mereka yang mahu belajar," tambahnya.

Menerusi kejayaan yang dikecapinya kini, pastinya Mustaqim tidak pernah menyesal sebaliknya bersyukur kerana tetap memilih bidang yang disukai walaupun ada kata-kata negatif yang mengiringi saat memulakan pengajian.

"Saya tak menyesal mengambil kemahiran malah rasa seronok. Memang ada yang tidak menyokong tetapi kini mereka sudah nampak hasilnya.

"Jadi, bagi mereka di luar sana yang masih teragak-agak untuk mengikuti program berkaitan TVET ini, tetapkan pendirian dan pilihlah bidang kemahiran yang diinginkan.

"Jika terpaksa, teruskan belajar. Dengan ilmu kemahiran yang diperoleh, insya-Allah minat itu akan datang secara spontan," katanya yang bakal menghasilkan pakaian korporat serta membuka cawangan baharu di Pekan, Pahang.

"Kemahiran juga bukan saja untuk mereka yang ingin berniaga sahaja. Ini kerana, bidang kemahiran ini membuka peluang yang lebih luas dan tidak dijangka. Yang pasti, ia tidak terikat dengan satu kerjaya sahaja," tambahnya.

Mustaqim nyata bersyukur kerana memilih IKN sebagai tempat untuknya menimba ilmu.

"IKN banyak memberikan ilmu dan kemahiran sangat saya manfaatkan kini. Kraftangan Malaysia juga banyak membantu dalam membangunkan produk saya sehingga kini boleh dipasarkan serta dijual di luar negara.

"Saya beryukur dan berterima kasih yang tak terhingga kepada mereka. Pihak pensyarah juga nyata tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar walaupun sudah lama meninggalkan institusi.

"Andai saya memerlukan bantuan atau pendapat membabitkan banyak hal, mereka sedia membantu dan itulah juga satu kelebihan yang akan diperoleh pelajar yang mengikuti kursus kemahiran ini," katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2021 @ 7:00am
d