Bola Sepak

Pengalaman bermakna buat Selangor II

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pengendali Selangor FC II (SFC II), Michael Feichtenbeiner menganggap keputusan seri 0-0 pada pertembungan menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi cukup adil.

Pengendali kelahiran dari Jerman menegaskan barisan pemainnya dan JDT II memperaga aksi permainan berintensiti tinggi dan agak menarik ditonjolkan oleh kedua pasukan yang begitu bersemangat memburu kemenangan.

Apapun beliau mengakui agak terkejut apabila melihat senarai pemain JDT II yang diturunkan pada perlawanan itu kebanyakan di kalangan pemain yang mewakili skuad kebangsaan tatkala SFC II hanya mempertaruhkan barisan pemain bawah 22 tahun.

"Kebanyakan pemain mereka memiliki pengalaman berbanding pasukan saya yang semuanya di bawah 22 tahun.

"Ia satu cabaran besar buat pemain muda dan mereka bagaikan tidak hirau kesebelasan pemain JDT II apabila berjaya memberi saingan sehingga sukar buat pemain lawan memenangi perlawanan itu selepas pemain muda SFC II beraksi cemerlang.

"Apa yang saya rumuskan, pemain muda SFC II meraih pengalaman bermakna dalam perlawanan itu tatkala pemain yang disenaraikan adalah bekas pemain Akademi Bola sepak Mokhtar Dahari (AMD) dan mereka tidak gugup malah kerap menghadirkan cemas terhadap benteng JDT II," katanya.

Feichtenbeiner menambah jika pemain melakukan serang balas dengan lebih tersusun dan melakukan penyudah lebih tepat, tidak mustahil kemenangan memihak SFC II, tapi kurang pengalaman beri kesukaran untuk melakar kemenangan.

Sementara itu, pengendali JDT II, Rafael Gil Sanchez menyifatkan jadual perlawanan yang padat menyebabkan usaha mencipta kemenangan tatkala beraksi di laman sendiri tidak kesampaian namun tetapi berpuas hati dengan satu mata yang diraih.

"Pasukan lawan mendapat rehat secukupnya selepas aksi menentang Sarawak, 7 April lalu ditunda manakala kami perlu mengharungi jadual yang padat sehingga pemain saya tampak keletihan dalam perlawanan itu.

"Namun satu mata sudah memadai dan kami tidak tewas dalam perlawanan itu. Banyak lagi perkara perlu diperbaiki terutama di posisi serangan apabila kerap gagal mencipta jaringan dan saya percaya pemain akan bangkit nanti," kata Sanchez.

Disiarkan pada: April 12, 2021 @ 2:43pm
d