mutakhir

Tiada kenaikan harga ikan di Pasar Chow Kit

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Harga jualan pelbagai jenis ikan di Pasar Chow Kit, di sini, masih sama seperti sebelumnya dan tiada kenaikan harga.

Tinjauan Harian Metro di premis berkenaan mendapati, pasar yang menjadi tumpuan warga Lembah Klang itu masih 'dipenuhi' pengunjung biarpun berkurangan berbanding hari minggu.

Pemeriksaan juga mendapati, harga ikan terutamanya ikan kembung dijual RM15 sekilogram (kg) dan ia tidak naik seperti diperkatakan ramai.

Peniaga, Muhammad Adib Haikal Jamsyarif berkata, tiada kenaikan harga ikan dikenakan terhadap pelanggan di pasar berkenaan.

"Harga ikan kembung di sini masih kekal RM15 sekilogram di premis kami dan tiada masalah kenaikan harga ikan.

"Setakat ini pelanggan tidak ada yang merungut tentang kenaikan harga ikan dan mereka hanya membeli," katanya, ketika ditemu bual.

Menurut Muhammad Adib Haikal, bilangan pelanggan hari ini berkurangan berikutan hari bekerja berbanding semalam.

Seorang lagi peniaga ikan, Muhammad Zuhairi Zulkifli, 21, juga menafikan kenaikan harga ikan di pasar berkenaan.

Sementara itu, kakitangan swasta, Mastur Muhammad Latif berkata, dia tidak mengetahui berkenaan kenaikan harga ikan serta dia tidak terjejas dengan peningkatkan harga berkenaan.

"Saya tidak terjejas sekiranya harga ikan dinaikkan dan jika mahal, saya akan cari alternatif lain. Keluarga saya kurang makan ikan, sebab itu jika harga ikan naik kami akan lebih mencari bahan lain seperti ayam," katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2021 @ 3:31pm
d