Bola Sepak

De Bruyne tekad akhiri badi City

Oleh AFP

London: "Menang semuanya," kata Kevin De Bruyne ketika ditanya mengenai impiannya untuk Manchester City selepas menandatangani kontrak baharu empat tahun dan menjadi pemain menerima bayaran paling tinggi di Liga Perdana minggu lalu.

Ketika musim berbaki dua bulan lagi, City dalam laluan tepat mencipta sejarah untuk menjulang empat trofi - Liga Juara-Juara, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga.

Pengendali City, Pep Guardiola berpeluang menamatkan badi Liga Juara-Juara dengan layak ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh lima tahun di Manchester.

City berkunjung ke Borussia Dortmund pada Khamis ini dengan bekalan tipis menerusi kemenangan 2-1 namun dihantui igauan aksi suku akhir sejak tiga tahun lalu.

"Tahun berbeza, pemain sama," itu reaksi De Bruyne mengimbau kekalahan 1-3 kepada Lyon di Lisbon musim lalu.

Kesilapan pertahanan, terlepas peluang dan kontroversi VAR menghampakan skuad Guardiolla ketika mereka disingkirkan Liverpool dan Tottenham pada 2018 dan 2019.

Walaupun memiliki penyerang muda berbisa Erling Braut Haaland , Dortmund kini menduduki tangga kelima Bundesliga dan tidak sepatutnya menimbulkan masalah kepada pendahulu Liga Perdana itu.

Tetapi De Bruyne berdepan terlalu banyak kesilapan City dalam saingan kejohanan elit Eropah dan trofi Liga Juara-Juara satu-satunya yang belum dimiliki bintang Belgium itu sejak tiba di England pada 2015.

Kesungguhannya untuk menamatkan penantian City menguasai pentas Eropah menjadi faktor kepadanya dan kelab dalam mencapai persetujuan kontrak baharu yang dilaporkan £20 juta (RM113.63 juta) setahun.

Disiarkan pada: April 13, 2021 @ 9:49am
d