mutakhir

Kenderaan masuk Kelantan meningkat

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Kenderaan melalui sempadan negeri Pahang untuk masuk ke Kelantan di jalan utama Gua Musang meningkat sejak semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, peningkatan kenderaan itu tidak ketara tetapi bertambah berbanding hari kebiasaan.

Bagaimanapun, kata beliau, pemeriksaan ketat dilakukan terhadap semua kenderaan yang merentas negeri melalui jalan itu dan mereka perlu mempunyai surat kebenaran yang sah.

"Trafik yang melalui jalan ini lancar dan pengawasan di dua sekatan jalan raya (SJR) untuk masuk ke negeri ini juga ditingkatkan.

"Peningkatan kenderaan itu lebih banyak melalui Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan pemeriksaan di SJR Kampung Tanah Puteh.

"Tetapi bagi SJR di Kampung kundur Jalan Simpang Pulai-Gua Musang tidak berlaku peningkatan dan pengawasan lebih tertumpu kepada penyeludupan daun ketum," katanya kepada pemberita selepas pemantauan SJR di Kampung Tanah Puteh, di sini, hari ini.

Sik berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur sekiranya mendapati kenderaan dan orang awam tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Disiarkan pada: April 13, 2021 @ 10:40am
d