dekotaman

Tema pelamin dalam rumah

Oleh Hafiz Ithnin

NURHAYATI Ismail dan suaminya, Khairi Syazwan Kamaruzaman tidak menyangka tugasan untuk menyiapkan perhiasan pelamin berkonsepkan tatarias Scandinavia mencetuskan idea mereka untuk mempunyai hiasan dalaman kediaman konsep yang sama.

Mendiami kediaman jenis apartmen servis itu sejak Oktober 2019, memberi peluang kepada pasangan itu melihat karektar tatarias Scandinavia yang mempunyai ciri-ciri ringkas, 'manimal,' warna alam selain lengkap dengan fungsi tersendiri sekali gus mewujudkan hiasan malar segar.

Nurhayati berkata, konsep Scandinavia juga sesuai dengan cita rasa mereka sekeluarga yang mempunyai dua ahli masih kecil. Apatah lagi konsep itu tidak begitu sarat dengan pelbagai hiasan dalaman.

"Sebenarnya saya dan suami menceburi perniagaan dalam bidang pengurusan acara termasuk majlis perkahwinan dan pada ketika itu terdapat pelanggan mahukan pelamin berkonsepkan Scandinavia.

"Jadi, selepas membeli barangan untuk perhiasan pelamin itu, saya dan suami banyak membuat rujukan secara dalam talian dan melihat kediaman dalam konsep begitu unik dan tampak moden," katanya.

Nurhayati yang memuat naik gambar dekorasi kediaman mereka sekeluarga di media sosial baru-baru ini mendapat perhatian natizen kerana ia kelihatan kemas dan ringkas.

Katanya, konsep Scandinavia yang banyak bermain dengan rona alam seperti putih menjadi hiasan utama bagi dinding sememangnya membantu menonjolkan ruang kediaman yang luas.

Jelasnya, penataan yang ringkas pada dinding dengan hanya meletakkan beberapa bingkai gambar dan pokok hiasan sememangnya membantu menyerlahkan lagi hiasan dalaman kediaman mereka sekeluarga.

"Jika melihat dari segi angka keluasan kediaman kami tidaklah sebesar mana tetapi apabila memilih rona putih dan kesinambungan dengan warna hiasan bertemakan alam semula jadi yang lebih lembut ia kelihatan luas.

"Malah, hiasan dalaman itu juga menjadikan kediaman kami kelihatan begitu tenang dan segar apabila berada di dalamnya," katanya.

Jelasnya, dia dan suami tidak menggunakan khidmat pereka dalaman profesional dan melakukannya sendiri dengan banyak merujuk kepada perkongsian gambar di media sosial.

"Ketika ini banyak tema yang boleh didapati di dalam media sosial dan kita hanya perlu bijak untuk menjadikannya sebagai panduan.

"Saya mengambil masa sekitar dua bulan untuk menyiapkan hiasan dalaman dan mungkin menelan belanja sekitar RM20,000 secara keseluruhan," katanya.

Tambahnya, kediaman mereka yang mempunyai tiga bilik tidur, salah salah satunya dijadikan bilik simpanan pakaian mampu menjadikan ruang peribadi dia dan suami serta anak-anak tidak terlalu sarat dengan almari pakaian.

"Bilik ketiga kami lengkap dengan almari siap dipasang yang agak besar bagi mengisi pelbagai pakaian kami sekeluarga dan ronanya masih sama iaitu mengekalkan warna alam semula jadi.

"Manakala, bagi bilik anak-anak pula saya dan suami ingin wujudkan suasana agak ceria seperti berada di dalam taman permainan sesuai dengan usia mereka yang masih kecil iaitu empat serta dua tahun," katanya.

Katanya, dia dan suami juga memilih permaidani lebih menonjol yang mempunyai konsep bohemian supaya ia menjadi titik fokal di dalam kediaman.

"Memandangkan warna di dalam kediaman agak ringkas dan tidak mempunyai sebarang ukiran, jadi kami memilih permaidani sebagai titik fokal ketika berada di ruang makan dan ruang tamu," katanya mengakhiri perbualan.

Disiarkan pada: April 17, 2021 @ 7:00am
d