rap

Tegas hasil karya muzik

Oleh Georgie Joseph

Annyeonghaseyo! Banyak faktor menjadi pendorong kejayaan seseorang anak seni untuk terus berjaya.

Satu daripadanya tentu sekali tidak pernah berhenti untuk memotivasikan diri menjadi lebih baik.

Bagi penyanyi, Kang Daniel cara terbaiknya untuk memotivasikan diri sekarang adalah dengan bersikap lebih tegas. Dia mengakui perlu berbuat demikian terutama dalam menghasilkan karya muzik.

Dia tidak mahu berlengah untuk melancarkan muziknya dan disiplinkan diri menyiapkan tugasan mengikut jadual ditetapkan. Segelintir artis mungkin tertekan dengan perkara itu, namun dia

berfikir sebaliknya.

"Saya sangat seronok menghasilkan muzik. Saya mahu cepat-cepat lancarkan setiap lagu yang sudah saya rancang untuk diperdengar di seluruh dunia. Perasaannya lebih istimewa disebabkan lagu itu ciptaan saya sendiri.

"Saya mendapat kekuatan berterusan apabila melihat perancangan dibuat berjalan lancar dan disukai orang ramai. Apa lagi yang lebih menyeronokkan selain muzik saya menjadi sumber ketenangan dan kekuatan?

"Walaupun saya menitikberatkan penghasilan karya perlu jujur dan mengandungi makna yang cukup besar, pada masa sama saya perlu kena tegas dengan diri sendiri," katanya.

Berkongsi mengenai album baharunya berjudul YELLOW, Kang Daniel tidak menafikan album terbabit cukup peribadi untuk dirinya. Ia bukan saja merungkai sisi hidupnya, bahkan mesej disuntik juga berat.

"Jika album terdahulu saya lebih banyak berkisar perjalanan mematangkan diri, album ini pula adalah ekspresi diri yang sudah lengkap. Saya mahu sampaikan bagaimana akhirnya saya dapat menangani semua perkara.

"Memandangkan ia adalah karya terakhir dalam siri album menggunakan judul warna, saya ingin beritahu semua bahawa saya sudah sedia menyahut cabaran hidup baharu," katanya.

Kang Daniel turut menjelaskan pemilihan warna kuning sebagai judul album itu ada maknanya tersendiri. Baginya, dia mempunyai takrifan peribadi di sebalik warna itu dengan kehidupan.

"Kuning biasanya memberikan gambaran perasaan yang tenang namun sebaliknya bertentangan pada saya. Ia adalah warna yang mengingatkan saya kepada perasaan dingin dan sunyi.

"Ibarat bulan yang bercahaya dalam gelap namun kesunyian. Jadi, saya berfikir warna itu tepat menggambarkan proses sukar saya lalui dan kemudian membawa kepada siapa diri saya sekarang," katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 6:20am
d