Asia

Kaya dek jual batu sungai

Oleh Agensi

Beijing: Hejiaba, sebuah kampung kecil yang terletak di tebing Sungai Yangtze dekat wilayah Sichuan terkenal sebagai salah satu pembekal batu sungai hiasan utama di China yang menghasilkan pendapatan mencecah jutaan dolar setiap tahun.

Oddity Central melaporkan, Hejiaba terletak di lokasi indah dan strategik bersebelahan sungai terbesar di China serta dikelilingi oleh pergunungan yang dilitupi hutan.

Biarpun menerima kehadiran ramai pelancong setiap tahun, pelancongan bukanlah sektor yang memberi pulangan besar buat kampung Hejiaba.

Sebaliknya, jualan batu sungai hiasan bersaiz besar yang menjadi sumber pendapatan penduduk.

Dianggarkan, kampung Hejiaba menjana perolehan kira-kira 20 juta yuan (kira-kira RM12.7 juta) setiap tahun daripada perniagaan berkenaan.

Malah, ratusan penduduk dilihat menyusuri tebing sungai mencari batu yang indah dan halus untuk dijual sejak Februari hingga April iaitu ketika Sungai Yangtze memasuki musim kemarau.

Namun, kerja mencari batu itu bukanlah mudah kerana tidak semua batu sesuai dijual, sebaliknya individu perlu memilih hanya batu berkualiti.

Salah satu faktor yang menjadikan batu sungai Hejiaba popular dalam kalangan pengumpul adalah coraknya yang menarik.

Kebanyakan penjual batu terdiri daripada lelaki berusia lebih 30 tahun dan mereka memilih hanya batu terbaik.

Perniagaan itu berkembang selepas satu pasangan di Bandar Niutan menemui sejumlah batu yang indah pada 2003 dan menjualnya di pasar dengan harga yang tinggi.

Beberapa batu sungai Hejiaba yang paling berharga pernah dijual dengan harga ribuan sehingga puluhan ribu yuan.

Sebiji batu, yang diberi nama 'Difficult Shu Road' oleh pemiliknya kerana corak yang terpampang di atasnya, dilaporkan dijual dengan harga 100,000 yuan (kira-kira RM63,322).

Media China, baru-baru ini, mendedahkan ramai penduduk yang menjadi kaya-raya kerana terbabit dalam perniagaan itu.

Setiap tahun, batuan baharu dibawa arus Sungai Yangtze dari Dataran Qinghai-Tibet.

Selagi permintaan tinggi terhadap batu hiasan itu, perdagangannya akan terus berkembang.

Ini kerana batu Hejiaba adalah premium jika dibandingkan dengan batu sungai lain.

Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 7:20am
d