mutakhir

Gelembung buaya tidak seganas namanya

Oleh BERNAMA

Tumpat: Bunyinya sedikit menggerunkan, namun sebaik menjamah gelembung buaya iaitu kuih tradisi masyarakat Kelantan, ia pasti membangkitkan selera sesiapa sahaja.

Kuih tradisi berwarna hijau dan jingga ini dihasilkan daripada campuran kelapa muda, tepung pulut, daun pandan, gula dan garam dikenali sebagai gelembung buaya kerana teksturnya mempunyai garisan seakan-akan kulit reptilia itu.

Selain itu, semasa proses memasak, kuih itu mengeluarkan buih seakan-akan gelembung buaya yang sedang bernafas di dalam air.

Pengurus Suzara Serunding, Nor Fatin Nabila Sukri, 28, berkata kuih gelembung buaya mendapat permintaan tinggi khususnya pada bulan Ramadan dan musim perayaan.

"Proses penghasilan kuih gelembung buaya mengambil masa kira-kira enam jam. Setiap lapisan gelembung buaya perlu disiapkan satu per satu mengikut warna sebelum kedua-duanya digabungkan.

"Tekstur gelembung buaya ini lembut, mudah ditelan serta rasa lemak manis yang sekata menjadikan ia sesuai untuk dijadikan manisan.

"Ia antara sebab mengapa ia begitu mendapat permintaan tinggi dan digemari ramai," katanya ketika ditemui Bernama di kilangnya di Kampung Laut, di sini.

Nor Fatin Nabila berkata, dalam tempoh bulan Ramadan, mereka menyiapkan kira-kira 150 peket kuih gelembung buaya setiap hari dengan setiap peket seberat 250 gram dijual pada harga RM3 setiap satu.

Menurutnya, tempahan diterima meningkat terutama menjelang perayaan, namun kuih ini agak sukar untuk dihasilkan dalam kuantiti banyak kerana stok kelapa muda amat terhad.

"Setakat ini, kami mendapat maklum balas positif daripada pelanggan dan mereka menyukai keunikan kuih gelembung buaya kami kerana rasanya kurang manis.

"Alhamdulillah, permintaan terhadap gelembung buaya tahun ini sangat baik berbanding tahun lalu," katanya sambil menambah kuih itu dihasilkan mengikut resipi turun-temurun Suzara Serunding sejak 1970.

Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 2:43pm
d