mutakhir

SAR cari tiga pemancing hilang [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga pemancing yang hilang akibat bot karam di perairan Kuala Besar, di sini, dilakukan, hari ini.

Pencarian membabitkan 64 anggota pasukan penyelamat dengan 10 bot digerakkan sejak 7 pagi tadi di sekitar lokasi kejadian.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut sama ada tiga mangsa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di laut.

"Setakat ini kesemua mangsa belum ditemui dan selain pihak berkuasa, pencarian turut dilakukan oleh nelayan tempatan.

"Kami difahamkan mereka membawa jaket keselamatan, namun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa memakai atau tidak peralatan itu," katanya ketika ditemui di Jeti LKIM Kuala Besar, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada 8.30 malam tadi kira-kira 10 batu nautika dari Jeti LKIM Kuala Besar dan tiga mangsa yang hilang ialah Mat Harun Mohd Nor, 54, Mat Awang @ Jali, 55, dan Zulshahmi Danial Zulazman, 26.

Mereka bersama sekumpulan pemancing bertolak dari jeti Kampung Keseng, Kuala Besar pada 5 petang semalam menaiki lima bot sebelum bot dinaiki tiga mangsa itu terbalik akibat dipukul ribut.

TERKINI:

Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 2:47pm
d