utama

Merusuh tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Sekumpulan tahanan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal, di sini, merusuh hari ini, selepas didakwa tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan pulang untuk menyambut Aidilfitri.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, keadaan bagaimanapun berjaya dikawal selepas pasukan Unit Tempur Ringan (LSF), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang dikerah ke lokasi kejadian.

"Keadaan terkawal dan tiada tahanan yang berjaya meloloskan diri dari DTI berkenaan.

"Kejadian hanya membabitkan sebuah blok, dan kita dimaklumkan terdapat beberapa kerosakan dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, siasatan awal mendapati kebanyakan tahanan tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan pulang menjelang Aidilfitri.

"Kejadian sama pernah berlaku pada 2015, yang mana dua hari sebelum Aidilfitri mereka merusuh kerana ingin pulang berhari raya.

"Masalah sekarang penghantaran pulang sedikit terganggu akibat pandemik Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2021 @ 4:31pm
d