mutakhir

Jual benih padi tanpa kebenaran

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Angkara orang dalam? Persoalan itu timbul selepas ada pihak tertentu dikesan menjual benih padi sah tanpa kebenaran.

Ia susulan serbuan sepasukan anggota pegawai penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah ke atas premis di Jalan Sanglang, Jitra, semalam.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Azman Mahmood berkata, dalam pemeriksaan itu pihaknya menemui 76 kampit benih padi sah seberat 1,520 kilogram bernilai RM2,432 di premis dipercayai untuk tujuan jualan.

"Kita tidak menolak kemungkinan terdapat pembabitan orang dalam kerana yang dibenarkan menjual benih adalah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

"Ini kesalahan yang serius kerana melanggar Perintah Tetap Ketua Pengarah Pengawalan Padi Dan Beras yang dikeluarkan dibawah Seksyen 4 Akta Kawalan Padi Dan Beras 1994 - Penetapan Kawalan melalui Surat Kebenaran Ketua Pengarah Terhadap Pemasaran Benih Padi," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, jika disabitkan kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Padi Dan Beras tidak melebihi RM15,000 atau dua tahun penjara.

Menurutnya, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan berdasarkan maklumat awam bagi mengekang pemasaran benih melalui pihak ketiga.

"Mereka ini sebenarnya yang menjejaskan proses membekalkan benih kepada petani.

"Sebab itu di sesetengah tempat, ada isu benih tak cukup dan sebagainya.

"Kita akan siasat siapa mereka ini dan akan mengambil tindakan segera.

"Sebelum ini ada isu menjual benih lama kepada petani, itu sudah kita selesaikan. Sekarang timbul pula jual benih padi yang baru, jadi kita tidak akan berkompromi," katanya.

FOTO ihsan Mafi

Disiarkan pada: April 30, 2021 @ 2:15pm
d