mutakhir

JHEAINS periksa pasar raya jual 'boxer' tertera ayat al-Quran

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Sandakan mengesahkan seluar dalam lelaki ataupun 'boxer' didapati tertera ayat al-Quran.

Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Sandakan, Romzi Abdul Rahman berkata, perkara itu tular melalui Facebook sebelum ini.

Menurutnya, susulan itu pihaknya bergegas membuat pemeriksaan ke pasar raya seperti ditularkan.

"Sebaik tiba, pemeriksaan mendapati memang ada boxer berkenaan dijual di situ tetapi ia sudah pun disimpan.

"Susulan itu, kami bergegas ke cawangan pasar raya berkenaan dan menemui boxer itu masih dipamerkan.

"Kami merampas sehelai untuk tindakan lanjut dan meminta pasar raya tidak menjual boxer terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Romzi berkata, pasar raya berkenaan memaklumkan mereka tidak terlibat dalam menghasilkan boxer itu dan pihak syarikat boxer dilaporkan sudah mengeluarkan arahan penarikan boxer terbabit.

"Seterusnya kami membuat pemantauan ke pasar raya lain dan menemui sebuah lagi pasar raya turut menjual boxer itu dan mereka kemudiannya menyimpannya.

"Setakat ini semua pasar raya yang menjual boxer itu sudahpun diminta tidak menjual boxer terbabit.

"Bagaimanapun, tindakan lanjut akan diambil bagi menangani perkara tersebut," katanya.

Sebelum ini, beberapa keping gambar memaparkan boxer tertera ayat al-Quran tular di Facebook.

Disiarkan pada: April 30, 2021 @ 6:04pm
d