bisnes

Bank Rakyat tampilkan 'Raya Tetap Raya' arahan Mamat Khalid

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Bank Rakyat memperkenalkan karya sulung iklan komersial pengarah Mamat Khalid melalui iklan raya berjudul Raya Tetap Raya.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, keistimewaan iklan Raya Tetap Raya Bank Rakyat ini ialah ia memaparkan bagaimana sambutan Syawal di luar kebiasaannya memberi impak kepada kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang tidak dapat pulang beraya di kampung bersama atuk dan neneknya.

"Selain itu, peminat filem komedi tempatan terutamanya filem arahan Mamat Khalid juga boleh menikmati naskhah baharu beliau menerusi iklan raya berdurasi tiga minit yang dijangka mencuit hati penonton," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mamat berkata, selepas 20 tahun berkecimpung dalam bidang perfileman, peluang yang

diberikan oleh Bank Rakyat ini adalah satu titik permulaan baharu dalam kariernya.

"Konsep Raya Tetap Raya yang diberikan oleh Bank Rakyat amat bertepatan dengan jalan cerita yang ingin ditekankan yang mana kehadiran bulan Syawal adalah satu kemenangan buat umat Islam selepas sebulan berpuasa dan harus diraikan dengan gembira walau apa cabaran yang mendatang.

"Iklan ini membawa mesej kepada masyarakat bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang kita untuk meraikan tradisi sambutan Syawal seperti kebiasaannya dengan memanfaatkan

kecanggihan teknologi menerusi penggunaan komunikasi secara maya," katanya.

Iklan Raya Tetap Raya oleh Bank Rakyat hasil karya Mamat Khalid ini sudah mula ditayang di Youtube dan akan disiarkan di televisyen mulai 11 Mei ini.

Disiarkan pada: May 8, 2021 @ 3:02pm
d