mutakhir

Mana mau lari? Polis kepung keliling

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Beratus kenderaan terperangkap dalam kesesakan sejauh lebih tiga kilometer (km) susulan sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, tadi.

Sekatan diadakan sempena Op Rentas yang diadakan di seluruh negara bermula hari ini dan akan berakhir pada 16 Mei hadapan.

Timbalan Pengarah ( Penguatkuasaan / Kawalan Lalu Lintas / Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata, Op Rentas bertujuan menyekat pergerakan rentas negeri oleh mereka yang ingin pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

"Kesesakan tidak dapat dielakkan tetapi hanya sementara kerana polis perlu membuat pemeriksaan teliti dan menyeluruh terhadap semua kenderaan," katanya di sini, tadi.

"Dulu kita buat Op Selamat apabila kali tiba musim perayaan tapi kali ini Op Rentas sesuai dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ia bagi memastikan kita dapat mengawal kenderaan dan menguatkuasakan undang-undang," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2021 @ 6:31pm
d