mutakhir

Tak sayang nyawa...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tindakan lima lelaki menunggang motosikal secara berbahaya serta menunjukkan aksi di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lima mat rempit yang berusia antara 17 hingga 29 tahun itu ditahan dalam operasi berkenaan jam 3 pagi.

"Dalam operasi itu, kami mendapati semua penunggang motosikal berkenaan ada melakukan aksi seperti 'zig-zag', 'roket', 'superman' dan 'fly' selain berlumba sesama sendiri.

"Mereka yang ditahan didapati bekerja sebagai juruteknik hotel, penghantar surat, mekanik, penghantar barang serta bekerja sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada lima penunggang motosikal yang ditahan itu tidak memiliki lesen.

"Semua individu yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2021 @ 11:40am
d