Bola Sepak

Kuwait bedal Harimau Malaya

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kuwait memberi pengajaran cukup berguna buat skuad Harimau Malaya menjelang aksi getir menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 3 Jun ini.

Ia susulan kekalahan besar 1-4 skuad negara pada aksi persahabatan tertutup dengan Kuwait di Stadium 7he Sevens, di Dubai, di UAE malam tadi.

Lantas, berbaki 10 hari sebelum menyambung kempen Kumpulan G itu nanti, masih banyak kerja rumah perlu dilakukan pengendali negara, Tan Cheng Hoe bagi memperbaiki sebarang kelemahan.

Begitupun di sebalik kekalahan itu, pasukan negara dilihat berjaya memberi cabaran kepada Kuwait yang juga dalam fasa persediaan mengharungi kempen sama.

Dalam aksi terbabit, Cheng Hoe mempertaruhkan khidmat tonggak naturalisasi ketiga negara, Guilherme de Paula buat pertama kali di bahagian serangan bagi menggantikan Shahrel Fikri yang digugurkan ekoran kecederaan.

Selain De Paula, beliau turut mencuba kombinasi baru di bahagian pertahanan apabila memberi peluang kepada Rizal Ghazali dan Irfan Zakaria masing-masing di pertahanan kanan serta tengah bagi membentuk benteng mantap bersama dua tonggak senior iaitu Aidil Zafuan dan Corbin Ong.

Malah, Akhyar Rashid yang jarang beraksi bersama kelabnya di Liga Malaysia turut disenaraikan dalam kesebelasan utama dengan mengenepikan rakan sepasukan di Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dibangku simpanan.

Nyata percaturan Cheng Hoe itu menjadi apabila seawal minit ketiga dan 17 menyaksikan skuad negara hampir meraih gol namun kedua-dua percubaan Akhyar tidak menemui sasaran.

Ketika Malaysia rancak menyerang, Kuwait yang kini menghuni tangga kedua Kumpulan B kelayakan di belakang Australia menghukum benteng negara menerusi rembatan deras kaki kiri Ahmad Aldhefeery pada minit ke-21 untuk menewaskan Farizal Marlias.

Bagaimanapun, pasukan negara tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila De Paula mencetak gol selepas menyudahkan hantaran Corbin Ong dari sebelah kiri di minit ke-28.

Malam ngeri kem negara bermula pada babak kedua apabila Cheng Hoe melakukan sembilan pertukaran dengan hanya mengekalkan De Paula dan Syamer Kutty Abba manakala Kuwait hanya melakukan satu pertukaran.

Disebabkan pemain negara 'lambat panas', Kuwait berjaya meraih gol kedua pada minit ke-55 hasil tandukan Fahad Alhajeri yang gagal diselamatkan penjaga gol gantian Harimau Malaya, Khairulazhan Khalid.

Lawan terus mengukuhkan kedudukan dengan dua lagi gol pada minit 61 dan 68 menerusi Shabaib Alkhaldi dan sepakan percuma, Fahad Al-Alabraim untuk meletakkan Kuwait melakar kemenangan 4-1 ke atas Malaysia.

Selepas ini, skuad negara akan turun dalam aksi persahabatan terakhir bertemu Bahrain di Manama, sebelum menentang lawan sebenar iaitu UAE pada 3 Jun ini di Stadium Zabeel, Dubai.

Disiarkan pada: May 24, 2021 @ 1:27am
d