mutakhir

Kehilangan agamawan terbilang - MB Perak

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad menyifatkan pemergian Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang meninggal dunia, hari ini sebagai kehilangan besar khususnya dalam dakwah Islam.

Saarani berkata, Allahyarham turut disifatkan seorang agamawan terbilang selain seorang murabbi ummah yang tidak pernah jemu mencurahkan jasa dalam menyebarkan dakwah.

"Sebak sungguh rasanya menerima khabar duka ini. Saya sendiri banyak kenangan bersama Allahyarham yang juga ilmuan cukup dihormati dan disegani.

"Dalam ketegasannya, terselit santun dan lembut tutur kata. Berdakwah secara berhikmah dan berilmu. Salam takziah buat keluarga dan sahabat handai Allahyarham Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan sama-sama kita mendoakan agar segala urusan dipermudahkan. Al-Fatihah," katanya dalam hantaran yang dimuatnaik di Facebook rasmi beliau.

Terdahulu, Harussani, 82, sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, selepas disahkan positif Covid-19.

Beliau difahamkan meninggal dunia pada 2.45 petang tadi.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, solat jenazah ghaib untuk Allahyarham akan dibuat selepas solat Maghrib, hari ini.

"Kita menyeru masyarakat turut mendirikannya bersama-sama di rumah masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2021 @ 5:52pm
d